Anda di sini

Keputusan MCA tindakan realistik

Advertisement

Tumpu tenaga kepada PRK Teluk Intan yang berpeluang untuk menang

GEORGE TOWN: Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang menyifatkan keputusan MCA untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor sebagai tindakan realistik secara terhormat.

Pengerusinya M. Karuppanan berkata PRK Bukit Gelugor tidak sama dengan PRK terdahulu kerana pemergian penyandangnya mendiang Karpal Singh adalah secara tragik dan adalah tidak sesuai untuk terlalu menonjol berkempen dalam situasi sedemikian.

“Ini bukan soal kalah sebelum berjuang kerana setiap kali pilihan raya umum (PRU) kita tidak pernah biarkan mana-mana kerusi kosong tiada calon. Kita ada masa lagi tiga tahun untuk bekerja dan berusaha memenangi kerusi itu dalam PRU ke-14,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata keputusan itu membolehkan jentera, tenaga kerja dan dana pilihan raya dapat ditumpukan kepada PRK Teluk Intan yang mempunyai peluang lebih cerah untuk dimenangi.

Katanya MIC Pulau Pinang menghormati pendirian parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dan percaya telah dinilai dengan teliti sebelum membuat keputusan itu.

Kelmarin, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan mengumumkan keputusan MCA untuk tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor kerana mahu memberi tumpuan kepada krisis perlembagaan yang ditimbulkan oleh PAS berkaitan usul hudud.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden di Ipoh, Perak, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang Senator Norliza Abdul Rahim pula berkata MCA perlu memenuhi janji mereka untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan Bukit Gelugor walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata keputusan MCA untuk tidak bertanding bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada krisis perlembagaan yang dicetuskan PAS perlu dihormati dan keputusan itu juga tepat pada masanya.

“Saya bersetuju dengan keputusan MCA untuk memberi fokus pada krisis perlembagaan. Tak guna kalau kita asyik nak bertanding, berpolitik tetapi aspek perlembagaan dan apa yang rakyat mahu kita pinggirkan.

“Ini adalah masa yang terbaik untuk MCA memperdanakan parti. MCA pun perlu lihat semula dari segi jentera dan memantapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang Rahmad Isahak melahirkan rasa dukacitanya dan menyifatkan keputusan itu akan memberi lebih ruang dan peluang kepada DAP untuk mendapat mandat daripada rakyat.

“Keputusan ini di luar jangkaan tetapi tidak mengejutkan,” katanya.

Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian Karpal Singh pada 17 April lalu akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak.

Dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 2013, Karpal menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon MCA, Teh Beng Yeam.

SPR menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian PRK Bukit Gelugor dengan penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal dijadualkan pada 21 Mei. — Bernama

Advertisement