Anda di sini

Kempen Go Bald 6.0 Sibu kutip sumbangan RM54,284.30

Advertisement

SIBU: Kempen ‘Go Bald’ 6.0 Sibu semalam berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM54,284.30 bagi membantu Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak.

Kempen membotakkan kepala yang berlangsung di Delta Mall disertai seramai 140 orang termasuk 17 wanita sebagai tanda sokongan aktiviti amal itu.

Setiausaha SCCS Jocelyn Hee berterima kasih atas keprihatinan masyarakat Sibu yang menyertai ‘Go Bald’ 6.0 Sibu.

“Kempen ‘Go Bald’ yang dilancarkan pada 2009 bertujuan memberi kesedaran terhadap kanser kanak-kanak dan memberi sokongan moral kepada pesakit kanser dan keluarga mereka,” jelasnya.

Katanya penganjuran kempen juga bagi membantu mengutip dana untuk perbelanjaan tahunan SCCS yang berjumlah RM1.5 juta.

“Kempen ‘Go Bald’ 6.0 telah dimulakan di Kuching pada 4 Mei dengan penyertaan seramai 677 peserta dan berjaya mengutip dana berjumlah RM397,000,” ujarnya.

Hee memberitahu, ‘Go Bald’ akan diteruskan di Bintulu Park City Mall pada 18 Mei, diikuti di Miri Bintang Megamall pada 25 Mei ini.

Sehingga 21 April lepas, Hee berkata seramai 10 kanak-kanak diagnosis penyakit kanser untuk kawasan Kuching, Sri Aman dan Betong.

“Manakala tujuh kanak-kanak diagnosis penyakit kanser di wilayah tengah termasuk Sibu, Sarikei dan Kapit. Dua kes lagi di Miri dan Bintulu,” katanya.

Hee memberitahu, SCCS telah membantu lebih 700 kanak-kanak pesakit kanser dan keluarga sejak mula ditubuhkan.

“Antara perkhidmatan yang disediakan oleh SCCS termasuk sokongan moral, tempat penginapan, bantuan kewangan, pendidikan dan rekreasi.

“Projek yang akan dilaksanakan oleh SCCS termasuk membina rumah penginapan di Miri dan Sibu untuk membantu keluarga kanak-kanak pesakit kanser bermalam sementara menunggu anak mereka menerima rawatan kesihatan.

“Tiada sebarang bayaran dikenakan. Selain itu, makanan dan pengangkutan turut disediakan bagi memudahkan mereka berulang-alik menemani anak ketika menerima rawatan di hospital,” jelasnya.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Go Bald’ atau menghulurkan sumbangan bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser, sila layari laman web www.sccs.org.my atau Facebook http://www.facebook.com/GoBald

Bagi pasangan bapa dan anak, Morshidi Omar,59, dan Muhammad Syafiq Morshidi, 24, mereka sentiasa menyokong perjuangan kanak-kanak menentang penyakit kanser dengan menyertai ‘Go Bald’.

“Ini merupakan tahun kelima menyertai ‘Go Bald’. Kami akan terus menyokong kempen ini pada masa akan datang,” ujar Morshidi ketika ditemui selepas kempen berkenaan.

Advertisement