Anda di sini

Kebajikan pelajar di asrama dipertingkat

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

SERAH: Dennis (tiga kanan) menyampaikan cek kepada Solfian sambil disaksikan oleh tetamu kehormat yang lainnya.

DALAM usaha memastikan anak-anak kecil dijaga dengan baik sepanjang persekolahan mereka di sekolah berasrama penuh, maka kerajaan telah memperkenalkan satu jawatan khas yang menjaga kebajikan para pelajar yang tinggal di asrama.

Malah menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, melalui jawatan Pegawai Pengurusan Murid (PPM) yang diperkenalkan itu, ia bukan sahaja menjaga anak-anak kecil supaya fokus dengan pelajaran mereka, malah ia mengeratkan kerjasama dan hubungan baik antara ibu bapa dan juga pelajar.

“Hari ini penghuni asrama di jaga dengan baik dengan adanya PPM yang menjaga murid-murid asrama dan ini membuktikan Kementerian Pendidikan tidak pernah putus untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menyumbang ke arah kemajuan rakyatnya pada masa depan,” jelasnya.

“Kerajaan memperkenalkan jawatan tersebut (PPM) bagi memastikan anak-anak kecil dapat belajar dengan penuh yakin, di samping mengaturkan program dan majlis di mana ibu bapa boleh bertemu anak-anak,” tambah Dennis ketika berucap pada majlis penutupan rasmi Program Asramaku Rumahku di Sekolah Kebangsaan (SK) Ubong Imang, Long Lama, baru-baru ini.

Katanya, keadaan tersebut amat berbeza dengan zaman persekolahan beliau semasa di asrama, di mana hari pertama menjadi pengalaman pahit kerana asyik menangis kerana tidak tahan berjauhan dengan ibu bapa di kampung.

Malah katanya, beliau dan rakan-rakan sekampung dari Long Bedian yang ketika itu bersekolah di SMK Long Lama kerap duduk di pangkalan bot ekspres, dengan harapan ibu bapa mereka datang untuk menjenguk atau mengambil mereka pulang, namun hampa.

“Tetapi hari ini situasi amat berbeza kerana dengan adanya program seperti ini, ia telah memberi semangat kepada anak-anak untuk terus tinggal di sekolah (asrama) dan menumpukan kepada pelajaran mereka.

TERBAIK: Johan pertandingan Bintang Karaoke menerima hadiah daripada Dennis sambil disaksikan Awang Rapbil.

“Manakala pada masa yang sama, para ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memberi semangat kepada anak-anak yang tinggal di asrama, agar mereka terus cekal dan tabah menghadapi cabaran dalam menimba ilmu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merayu kepada ibu bapa untuk membantu guru mendidik anak-anak apabila diperlukan menggunakan sistem pendidikan sekolah dan memberi sokongan padu bagi membantu sekolah dalam usaha memajukan anak anak mereka, yang juga generasi masa depan menjadi harapan negara.

Dennis kemudiannya mengumumkan peruntukan kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM15,000 untuk PIBG SK Ubong Imang dan menyampaikan cek bernilai RM12,500 iaitu RM7,500 kepada PIBG SK Ubong Imang dan RM5,000 lagi untuk membolehkan pihak sekolah menjalankan aktiviti mereka.

Majlis malam itu turut diserikan dengan pertandingan Bintang Karaoke yang disertai pelajar dan persembahan kugiran sekolah yang menampilkan ‘penyanyi’ mereka yang juga guru sekolah tersebut, Mimi Johna.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah Solfian Hissamuddin, Ketua Masyarakat Long Lama Kapitan Yeo Kee Siang, guru besar sekolah Awang Rapbil Awang Sulaiman, ketua jabatan, kaum dan ibu bapa pelajar.

Advertisement