Anda di sini

Jogaton sempena Hari Polis Ke-207 mendapat sambutan

Advertisement

KUCHING: Hujan renyai-renyai awal pagi semalam tidak menghalang penyertaan orang ramai dalam jogaton di Le’Park sempena sambutan Hari Polis Ke-207.

Para peserta terdiri daripada wanita dan lelaki berpakaian serba biru datang seawal jam 5.30 pagi bersama keluarga masing-masing.

Acara dimulakan dengan senaman selama 10 minit pada sekitar jam 7 pagi, diikuti pelepasan para peserta oleh Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Wira Muhamad Sabtu Osman.

Hadir sama Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Wahap Abang Julai, Pengarah Ouryouth.my Datuk Patrick Liew, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung dan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching merangkap pengerusi penganjur jogaton ACP Roslan Bek Ahmad.

Selain diberi penghormatan melepaskan para peserta Sabtu mengambil bahagian dalam kategori VIP bersama tetamu kehormat lain.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat larian, Sabtu berkata acara itu dianjurkan kontinjen polis negeri dan disertai seramai 5,933 peserta.

“Acara ini merupakan salah satu aktiviti yang kami anjurkan dengan penglibatan orang awam.

“Kami mahu lebih rapat dengan orang awam. Saya gembira kerana mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai yang turut menaja.

“Aktiviti-aktiviti kami merangkumi pelbagai aspek seperti sosial, keagamaan dan sukan. Perkara paling penting ialah kepolisian masyarakat, yakni melibatkan komuniti setempat dalam mencegah jenayah,” katanya.

Advertisement