Anda di sini

Jangan menyemai sentimen perkauman

Advertisement

Oleh Clare Cinderella //

Ibu bapa harus melibatkan anak-anak dalam setiap pergaulan dan aktiviti sosial yang sihat, kata Lee

MIRI: Ibu bapa dinasihati supaya tidak menyemai sentimen perkauman di kalangan anak-anak mereka dengan melibatkan mereka dalam pergaulan dan aktiviti sosial yang sihat.

Menteri Muda Perhubungan merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, ketika mengingatkan demikian meminta ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak mereka mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti sosial bagi mewujudkan persefahaman dan perpaduan yang baik di kalangan anak-anak.

Katanya, melalui pergaulan dengan pelbagai kanak-kanak daripada latar belakang agama, bangsa dan sebagainya yang berbeza, ia akan memupuk persefahaman dan rasa hormat terhadap kaum dan agama lain, sekali gus mencegah timbul sentimen perkauman di kalangan anak-anak.

“Perdana Menteri pernah melahirkan rasa kagum dan bangga beliau dengan Sarawak yang menjadi contoh kepada negeri 1Malaysia di negara ini kerana semangat perpaduan yang tinggi.

“Malah di Sarawak tidak wujud isu perkauman atau keagamaan kerana rakyatnya saling memahami dan menghormati, malah dapat duduk bersama dan makan semeja,” tambah Lee.

Beliau berkata suasana inilah yang perlu dikekalkan di negeri ini, justeru ibu bapa memainkan peranan amat penting, memupuk nilai-nilai perpaduan dan muhibah tersebut di kalangan anak-anak dan generasi muda, sejak mereka kecil lagi.

Lee yang juga ADUN Senadin memberitahu demikian semasa berucap merasmikan Program Hari Terbuka Kanak-Kanak (PAKK) Permyjaya Miri 2014 di lobi kompleks beli-belah Permy Mall di sini, semalam.

Program itu yang bertajuk ‘Kenali PAKK’ merupakan acara anjuran bersama PAKK dengan pihak pengurusan Permy Mall di sini.

Dalam pada itu, Lee meminta PAKK yang dibuka kepada anak-anak berusia 18 tahun ke bawah, mengadakan lebih banyak aktiviti supaya kanak-kanak dapat bergaul dengan lebih baik lagi ke arah memupuk dan meningkatkan lagi perpaduan di kalangan mereka.

Sebagai menyokong usaha oleh PAKK itu, Lee semalam turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 untuk pusat tersebut.

Sementara itu, sempena Hari Terbuka PAKK Permyjaya Miri, pelbagai atur cara telah disusun untuk kanak-kanak dan orang ramai seperti acara zumba, pertandingan mewarna, meniup belon dan pertandingan minum air Coca Cola terhebat.

Di samping itu turut diadakan ialah ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, taklimat pertolongan cemas, pertandingan menganyam ketupat, Ratu Mumia, reka cipta straw dan pertandingam membawa gelang getah.

Sempena sambutan Hari Ibu yang jatuh pada 10 Mei, PAKK turut meraikan sambutan Hari Ibu bersama ibu-ibu yang hadir dengan anak-anak mereka.

Advertisement