Anda di sini

Cadangan kembang, tambah baik Pasar Malam Sibu Jaya dinilai

Advertisement

SIBU: Cadangan mengembang dan menambah baik Pasar Malam Sibu Jaya sedang dalam peringkat penilaian.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Oliver Kuo berkata, penilaian sangat penting untuk memastikan tidak wujud unsur-unsur percanggahan di antara MDLBS dan agensi kerajaan lain.

Katanya keperluan dan keselesaan para peniaga pasar malam dan orang ramai juga harus diambil kira.

“Apa yang penting kami cuba memberi peluang sama rata kepada peniaga khususnya kalangan penduduk Sibu Jaya untuk menceburi bidang perniagaan.

“Tambahan pula Pasar Malam Sibu Jaya kini bukan sahaja popular di kalangan penduduk tempatan, malah mereka yang tinggal di luar Sibu Jaya,” katanya ketika ditemui selepas melawat kawasan Pasar Malam Sibu Jaya kelmarin.

Sementara itu, peniaga Pasar Malam Sibu Jaya berkata gerai mereka seperti bangunan rumah setinggan dan memerlukan penambahbaikan segera.

Peniaga juga mendakwa, keselesaan mereka berniaga terlalu terbatas kerana beberapa masalah tidak dapat dielakkan.

Dalam pada itu, Kaunselor Pasang Ngalambai menjelaskan bahawa kawasan pasar malam sedia ada dahulunya merupakan tempat letak kereta.

Ia kemudian diubah secara perlahan-lahan oleh peniaga sendiri menjadi kawasan pasar malam menjual kuih-muih serta ayam dan ikan bakar.

Pasang memberitahu, penambahbaikan itu dijangka mampu melonjakkan pendapatan masyarakat setempat khususnya golongan peniaga kecil.

Katanya, selain memfokuskan kepada peningkatan taraf sosioekonomi penduduk ia juga merupakan salah satu usaha MDLBS mempromosikan Sibu Jaya kepada dunia luar.

Advertisement