Anda di sini

Berguni surat tidak dituntut

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Pos Malaysia Berhad dicadang melantik wakil pos di kawasan pedalaman Mukah bagi memudahkan urusan surat-menyurat.

Wakil Pos Komuniti Selangau Ngumbang Awit berkata kawasan berkenaan di bawah pentadbiran Penghulu Empaling di Sungai Bawan, Balingian, Penghulu Iju (Jalan Selangau-Mukah) dan Penghulu Uking (Hulu Mukah).

Beliau berkata secara purata dalam sebulan, tiga kawasan tersebut menerima sebanyak enam guni surat, namun surat terbabit dihantar ke Pos Komuniti Selangau yang bukan di bawah pentadbiran Mukah.

“Tiga kawasan tersebut ialah kawasan di bawah pentadbiran Mukah dan bukannya Selangau.

“Keadaan ini menyebabkan surat di tiga kawasan tersebut berlambak- lambak dan kini ditempatkan di Pos Komuniti Selangau,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata bayangkan ketiga- tiga kawasan tersebut mempunyai ratusan rumah panjang dan dalam sebulan, setiap kawasan menerima dua guni surat dan keadaan ini berlaku sejak dua tahun lalu.

“Ini menyebabkan keadaan pos kita ini dipenuhi surat-surat yang tidak dituntut,” ujarnya.

Ngumbang mendakwa, sebelum ini beliau pernah mengembalikan surat-surat berkenaan kepada pihak pos di Mukah namun dihantar semula ke Pos Komuniti Selangau.

“Kami risau kemungkinan surat-surat penduduk di tiga kawasan berkenaan adalah surat penting atau urusan penting.

“Kami juga pernah memaklumkan kepada ketiga-tiga penghulu terbabit, namun mereka tidak datang mengambil surat mereka, mungkin sibuk.

“Tetapi, ada juga penduduk dari ketiga-tiga kawasan tersebut datang sendiri ke Pos Komuniti Selangau menuntut surat mereka,” jelasnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar setiap kawasan tersebut melantik seorang wakil pos bagi mengutip surat mereka.

“Kami memohon jasa baik Pos Malaysia agar mempertimbangkan cadangan ini memandangkan ketiga- tiga kawasan tersebut bukan di bawah pentadbiran daerah Selangau, kami tidak dapat menghantar surat tersebut ke Mukah.

“Kami hanya berupaya menyimpannya di sini bagi menunggu mereka menuntut surat mereka. Namun, ia tetap berlambak seakan-akan seperti sampah di pos ini,” akuinya.

Dengan adanya wakil pos di setiap kawasan tersebut, katanya akan memudahkan proses penghantaran surat dan mengurangkan surat-surat dari kawasan lain diletakkan di Pos Komuniti Selangau.

Sehubungan itu, Ngumbang mengingatkan tuai-tuai rumah di daerah Selangau supaya mengambil surat mereka di Pos Komuniti Selangau sekurang-kurangnya seminggu sekali atau lebih kerap.

Mereka yang mempunyai urusan atau sebarang pertanyaan berkaitan pos itu boleh menghubungi Ngumbang menerusi talian 019-8587325.

Advertisement