Anda di sini

29 bayi lahir sekitar ibu kota sempena Hari Ibu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Hari Ibu, yang direncanakan setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei, lebih bermakna bagi mereka yang melahirkan cahaya mata semalam.

Dilaporkan 29 bayi dilahirkan di beberapa hospital kerajaan dan swasta di sekitar ibu negara dan Lembah Klang sehingga jam 11 pagi.

Dewan bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyaksikan lapan kelahiran, empat daripadanya bayi perempuan, dengan kelahiran pertama direkodkan pada jam 1.38 pagi, kata jurucakap HKL kepada Bernama, di sini semalam.

Lima bayi terdiri daripada bangsa Melayu dan masing-masing seorang warga Indonesia, Thailand serta Myanmar.

Semua bayi yang selamat dilahirkan itu dilaporkan empat daripadanya dilahirkan secara normal, tiga bayi secara caesarean dan seorang lagi menggunakan kaedah vakum dengan masing-masing mempunyai berat purata dari 2.7kg sehingga 3.4kg.

Di Hospital Ampang, enam bayi perempuan dan tiga bayi lelaki dilahirkan jam 9.43 pagi semalam dengan bayi pertama dilahirkan pada jam 12.48 tengah malam.

Menurut jurucakap Hospital Ampang, kesemua mereka terdiri daripada tujuh bayi berbangsa Melayu manakala dua lagi bayi dilahirkan warga Thailand dan Myanmar.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 11 bayi dilahirkan secara normal iaitu enam bayi perempuan dan lima bayi lelaki dengan berat purata kira-kira 3kg. — Bernama

Advertisement