Anda di sini

Zon Baram Tengah muncul johan PSKPP

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

JOHAN: Pengerusi Zon Baram Tengah, Ng dan Badrol Seri (kanan) menerima piala kejohanan daripada Entri (empat kanan) sambil disaksikan oleh tetamu yang lain.

ZON Baram Tengah muncul sebagai johan keseluruhan Pesta Sukan Kebudayaan Pegawai Pendidikan (PSKPP) Peringkat Daerah Baram yang berlangsung baru-baru ini.

Pesta tersebut telah disertai seramai 400 orang pegawai, guru dan kakitangan bukan guru yang masingmasing mewakili lima buah zon di daerah ini.

Sepanjang pesta tersebut, para peserta telah bersaing dalam 12 buah acara yang diadakan sepanjang empat hari dan tiga malam berkampung di Marudi.

Antara acara yang dipertandingkan ialah badminton, bola sepak, futsal dan sebagainya.

Manakala pada malam penangguhan, menyaksikan Pertandingan Bintang Karaoke PSKPP Baram dan Kugiran PSKPP.

Sementara itu Zon Baram Hilir muncul di tempat kedua manakala Zon Tinjar di tempat ketiga.

Zon Baram Hulu dan Zon Tutoh-Apoh terpaksa akur dengan keputusan di tangga keempat dan kelima.

Pada pertandingan bintang karaoke kategori guru perempuan, gelaran johan disandang oleh Mimi Johna, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ubong Imang yang mewakili Zon Baram Tengah.

Naib johan jatuh kepada Syazwanti Sendur (SK Kuala Bok) yang mewakli Zon Tinjar dan Imelia Lazarus dari Pejabat Pelajaran Baram yang mewakili Zon Baram Hilir di tempat ketiga.

Dalam kategori lelaki pula, johan dimenangi oleh Wan Mohd Akmal (Zon Baram Hulu), naib johan jatuh kepada Harry Hamdan dan tempat ketiga menjadi milik Sepawi Lukoi.

Sementara dalam pertandingan Kugiran PSKPP, tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan Kugiran dari Zon Baram Tengah dan tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Ever Green dari Zon Tutoh-Apoh yang diketuai oleh Cikgu Jok Jau Jenggo.

Hanya dua buah zon mengambil bahagian dalam pertandingan kugiran tersebut.

TERBAIK: Johan Bintang Karaoke PSKPP kategori perempuan, Mimi Johna (tiga kiri) menerima piala kemenangannya daripada Entri.

Dalam pada itu, majlis penangguhan rasmi PSKPP kali ke-16 peringkat Daerah Baram telah disempurnakan oleh Menteri Muda Bekalan Air yang juga Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran yang diadakan di Dewan SK Dato Sharif Hamid.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Entri turut mencadangkan supaya Pejabat Pendidikan Daerah Baram menganjurkan pertandingan Nyanyian Bintang Karaoke PSKPP Baram dengan lebih besar dan hebat pada tahun-tahun akan datang kerana ia mampu mengundang banyak penyertaan dengan bakat-bakat yang hebat.

Bagi menandakan sokongan mereka terhadap PSKPP tersebut, Entri juga mencadangkan agar piala pusingan tersebut diberikan nama Piala Pusingan ‘Tiga Wakil Rakyat’, yang mewakili ketiga-tiga wakil rakyat di Baram iaitu beliau sendiri, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau.

“Saya akan berbincang dengan mereka berdua dan penganjur berhubung perkara ini (tajaan bagi piala pusingan tersebut) dan kami serahkan kepada Jabatan Pendidikan untuk memutuskannya,” ujar beliau.

Ini kerana tambahnya, pertandingan Bintang Karaoke tersebut juga berjaya menarik perhatian ramai penonton untuk menyaksikannya, sambil para guru berpeluang menunjukkan bakat masing-masing dalam bidang nyanyian.

Selain itu sebagai tanda sokongan kuat kepada Jabatan Pendidikan Baram sejak tahun 2003 hingga kini, Entri turut memberi insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan yang mendapat semua A.

RM50 akan diberi bagi setiap A yang diperolehi dan setakat ini, seramai 238 pelajar cemerlang di Daerah Baram dan insentif tersebut yang bernilai RM63,600 telah diberikan kepada pelajar cemerlang terbabit.

Manakala dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM pula, PMR RM100 bagi setiap A dan setakat ini, katanya beliau sudah mengagihkan sejumlah RM17,600.

Entri yang juga ADUN Marudi merayu kepada pihak Jabatan Pendidikan melalui pasukan PSKPP agar menghantar beberapa buah pasukan untuk menyertai lumba perahu pada Regata Baram yang akan berlangsung bulan Ogos nanti.

Pada majlis yang sama, Entri turut mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM30,000 untuk PSKPP Baram.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Yunos Apok dan Timbalan PPD Baram, Jalong Wan.

Advertisement