Anda di sini

Ramkarpal Singh diumum calon DAP PRK Bukit Gelugor

Advertisement

GEORGE TOWN: DAP meletakkan Ramkarpal Singh, 38, iaitu anak ketiga mendiang bekas pengerusi kebangsaan Karpal Singh sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada majlis perasmian Pusat Operasi Utama PRK Bukit Gelugor dan pengumuman calon parti itu di sini semalam.

Lim dalam ucapannya berkata Ramkarpal Singh adalah antara lima calon terbaik yang disenarai pendek oleh parti bagi PRK Parlimen Bukit Gelugor itu.

Sementara itu, Ramkarpal Singh yang bangga dengan pemilihannya sebagai calon untuk mempertahankan kerusi yang pernah disandang mendiang ayahnya yakin untuk memperoleh majoriti undi yang tinggi dalam PRK kali ini.

“Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gelugor, sesuatu yang mempunyai nilai sentimental pada diri saya.

“Saya tidak rasa tertekan sebaliknya sangat bangga dengan pemilihan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Ramkarpal Singh, seorang peguam dan hanya menyertai DAP secara rasmi pada tahun ini, pernah membuat penampilan pertamanya di khalayak umum ketika berada di sisi Karpal Singh semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di Sekolah Tinggi Han Chiang.

Sebelum ini, pada majlis malam memperingati Karpal Singh, beliau ada menyatakan kesediaannya untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Bukit Gelugor.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei.

Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada PRU 2013 dengan majoriti undi 42,706 menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi. — Bernama

Advertisement