Anda di sini

‘Pasar hantu’ wajar diberi nafas baharu

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

SERIAN: ‘Pasar hantu’ Tebakang di Jalan Serian-Tebedu yang pernah men­jadi tumpuan penduduk tempatan serta kawasan sekitar Serian bakal diberi nafas baharu dengan pem­bangunan infrastruktur.

Menteri Pembangunan In­frastruktur dan Komunikasi Dato Sri Michael Manyin Ja­wong berkata, ia melibatkan pembangunan gerai makanan yang bakal dilaksanakan di bawah bajet kewangan Majlis Daerah Serian (MDS) bernilai RM1 juta bagi menggerakkan ekonomi penduduk setempat.

“Sudah lama pasar ini sunyi. Ini kerana pada masa itu be­lum ada infrastruktur jalan yang baik, orang ramai serta penduduk sekitar berhenti di sini.

“Pada masa dahulu, tempat inilah yang paling menyerlah dan meriah tetapi selepas ada jalan raya semua masyarakat setempat pergi ke Serian. Cadangan saya, kita adakan sedikit aktiviti seperti mem­bina gerai-gerai di sini dan ada orang yang akan datang untuk makan.

“Sekarang, cuma ada satu sahaja kedai makan yang masih wujud di sini iaitu kedai Pemanca Cina Daerah Serian, Choo Kun Hian.

“Tetapi sekiranya ditem­patkan gerai di sini saya percaya ramai yang akan datang ke sini disebabkan kepelbagaian makanan. Itu antara cara untuk menarik orang ramai tertumpu semula ke kawasan ini,” ujarnya ke­tika ditemui selepas merasmi­kan Sukaneka dan Pameran Cabaran Berakit/Bilanting Serian, semalam.

Sementara itu, Manyin yang juga Ahli Dewan Undan­gan Negeri (ADUN) Tebedu berkata sebuah jambatan bernilai kira-kira RM300,000 akan dibina di Kampung Tebakang selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Buat masa ini, kita sedang menyiapkan jalan dari Mon­gkos ke Tebakang Melayu dan pihak Jabatan Kerja Raya telah menjalankan survei dan kajian serta memberi cadan­gan untuk membina sebuah jambatan kukuh yang boleh menampung lori seberat 20 tan.

“Saya sedang melihat bajet. Sebahagian daripada perala­tan jambatan sudah ada di sana dan kita cuma perlu menam­bah, mudah-mudahan kita boleh laksanakannya dalam tahun ini,” jelasnya.

Beliau turut menyerahkan hadiah kepada para pemenang sukaneka pada majlis itu sambil berjalan-jalan melihat gerai dan tapak pusat pekan lama Tebakang.

Turut hadir Pengerusi MDS Sinde Muling, Timbal­an Pengerusi MDS Kaunselor Dr Simon Sinang Bada dan Pemangku Setiausaha MDS Muzaimah Sumar.

Advertisement