Wanita cedera dalam pergelutan dengan lelaki berseluar dalam.
SIBU: Seorang pemuda menerima padah apabila cuba ‘ngayap’ isteri orang di sebuah bilik asrama pekerja ladang kelapa sawit di Naman, kira-kira 60 kilometer dari sini semalam.
Amalan ‘ngayap’ dalam adat masyarakat Iban bermaksud si teruna mencari jodoh dengan memasuki kamar tidur si gadis di rumah panjang.
Bagaimanapun, hasrat ‘ngayap’ lelaki terbabit disalah guna kerana dia mempunyai niat tidak baik terhadap gadis berkenaan apabila muncul secara mengejut di depan mangsa dengan hanya berseluar dalam.
Memikirkan lelaki itu cuba memperkosanya, mangsa bertindak mempertahankan diri sehingga berlaku pergelutan di tempat kejadian.
Dengan kekuatan yang ada, mangsa, 27, bekerja sebagai kerani di situ menjerit sehingga memaksa penceroboh hampir berbogel itu memukulnya dipercayai dengan sebatang kayu.
Bunyi bising menarik perhatian para penghuni yang bergegas keluar dari bilik masing-masing.
Salah seorang saudara mangsa sempat mengecam muka lelaki yang bergegas lari dari bilik mangsa.
Mangsa kemudiannya dihantar oleh kakitangan ladang ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa menerima tiga jahitan di kepala dan dua jahitan di jari kelingking kanannya.
Bertindak daripada laporan, polis pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 23 tahun.
Suspek berbangsa Iban dari Song merupakan seorang tukang kayu yang bekerja di ladang sama.