Anda di sini

Kasih ibu TIADA TERNILAI

Advertisement

KASIH IBU TETAP DIKENANG: Ain dan Alieya ditemani Aishah dan datuk mereka, Ramblee Suhai menatap potret ibu mereka. – Gambar Muhammad Rais Sanusi

DI saat kanak-kanak lain bergembira menyambut Hari Ibu bersama keluarga, Nur Ain Mohd Hazmi, 8, dan Nur Alieya, 7, hanya mampu menumpang kasih ibu saudara mereka.

Ain dan Alieya yang kini diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka, Aishah Ramblee, 32, hilang kasih sayang seorang ibu apabila ibu mereka Allahyarhamah Anisa Ramblee meninggal dunia dalam insiden kebakaran di Kampung Tabuan Haji Drahman, Rabu lalu.

Malah tragedi hitam yang menimpa Alieya dan Ain turut mengorbankan dua adik mereka yang lain iaitu Norshaza dan Siti Nordiana masing- masing berusia lima dan tiga tahun.

Aishah yang bekerja sebagai guru tadika, tinggal di Taman Sepakat Jaya, Demak Laut memberitahu dua adik-beradik itu sangat merindui ibu mereka.

“Pada malam selepas kejadian itu, Ain mengigau ketika tidur dengan memanggil nama ibunya Anisa.

Saya sendiri sedih melihat musibah yang menimpa mereka.

“Apa yang lebih menyayat hati saya ketika mereka menonton drama bersiri ‘Aku Isterinya’ kerana ia adalah drama kegemaran ibu mereka yang sering ditonton bersama.

“Kedua-duanya akan bertanya ‘Mama (ibu) sempat sik nangga cerita tok?’ (Ibu sempat tak menonton cerita ini?),” katanya sambil menitis air mata ketika ditemui semalam.

Aishah yang mempunyai tiga cahaya mata berkata, dia akan berusaha memberi kasih sayang yang sama rata kepada kedua-dua mereka seperti anak sendiri.

Tambahnya, apa yang penting sekarang ialah menghilangkan rasa trauma dua adik-beradik itu.

“Mereka masih lagi kecil dan memerlukan perhatian yang sewajarnya, insya-Allah saya akan memikul tanggungjawab menjaga mereka sebagai ibu sebaik mungkin,” ujarnya.

 

Advertisement