Anda di sini

Harapan masyarakat terhadap PDRM meningkat: Wan Junaidi

Advertisement

Inisiatif penguat kuasa jamin keselamatan rakyat mencapai sasaran

TAPAH: Harapan masyarakat terhadap usaha yang telah dan sedang dilakukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata ini kerana inisiatif yang dilaksana penguat kuasa khususnya PDRM bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman rakyat dilihat berkesan dan mencapai sasaran di luar jangkaan.

“Yang berkesan ialah polis melancarkan Ops Cantas bagi mengurangkan jenayah terancang yang dilakukan gengster dan kumpulan kongsi gelap.

“Sebagaimana yang kita ketahui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah isytihar 49 kumpulan kongsi gelap haram dan selepas tangkapan dilakukan, ini menunjukkan keberkesanan tindakan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘United Against Crime’ (UAC) di sini semalam.

Beliau berkata Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah pada tahun lepas juga dapat dibuktikan dengan beberapa pencapaian.

“Pencapaian NKRA tahun lepas iaitu pengurangan jenayah indeks sebanyak 4.3 peratus berbanding 5 peratus yang disasarkan iaitu sebanyak 86 peratus, pengurangan kejadian pecah masuk rumah 6.5 peratus berbanding lima peratus yang disasarkan iaitu 130 peratus.

“Peningkatan kadar pendakwaan bagi kertas siasatan yang dibuka mencapai 38.2 peratus berbanding 35 peratus yang disasarkan iaitu 109.14 peratus, indeks persepsi keselamatan 47.2 peratus dan peningkatan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan PDRM 85.7 peratus berbanding 70 peratus yang disasarkan iaitu 122.43 peratus,” kata Wan Junaidi.

Meskipun kejayaan dicapai dalam mengurangkan kadar jenayah, beliau berkata persepsi terhadap keselamatan masih kekal membimbangkan dalam kalangan masyarakat.

“Masyarakat menganggap jenayah yang berlaku meningkat. Kabinet telah membincangkan bagaimana untuk menangani persepsi ini,” katanya.

Mengenai program UAC yang berlangsung selama tiga hari, beliau berkata ia merupakan komitmen kerajaan dengan kerjasama pihak swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi awam, badan-badan berkanun dan golongan belia, bagi mengurangkan jenayah.

“Semua pihak perlu berganding bahu dalam membanteras jenayah kerana jenayah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira tempat, masa, umur, kaum dan jantina. Wajarlah kita semua bersama-sama melibatkan diri dalam membanteras jenayah ini,” katanya. — Bernama

Advertisement