Anda di sini

Dr Annuar adakan kunjungan Pra-Gawai di tiga rumah panjang

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

SELAMAT HARI GAWAI: Dr Annuar memotong kek Hari Gawai di Rumah John Lalong (sepuluh kanan).

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee barubaru ini telah mengadakan lawatan ke tiga buah rumah panjang di konstituensinya sebagai berkongsi bahang sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Beliau juga menggunakan kunjungan itu untuk memahami keperluan dan aspirasi rakyat termasuk mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Semasa lawatan itu, beliau ditemani oleh Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Sibu Abang Muhammad Abang Jess dan Kaunselor Ibrahim Laili.

Kunjungan mereka bermula di Rumah Johnny Suan, Batu 9, Jalan Teku diikuti dengan Rumah John Lalong dan Rumah Asing Sanyut.

“Kunjungan Hari Gawai ini dibuat awal memandangkan agak banyak rumah panjang di kawasan saya.

“Ini juga satu cara untuk saya lebih memahami keperluan dan masalah mereka,” katanya kepada pemberita.

RAIKAN BERSAMA: Dr Annuar (lima kiri) bersama-sama dengan Asing (empat kiri), Johnny (enam kiri) memotong kek Hari Gawai di Rumah Johnny.

Sementara itu, Tuai Rumah Johnny Suan memberi jaminan bahawa penduduknya adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN) selama ini.

Beliau turut menyuarakan beberapa permintaan seperti tong sampah besar dan lampu jalan untuk rumah panjangnya yang mempunyai 11 pintu.

Dr Annuar memberitahu bahawa beliau merancang untuk mendirikan lebih banyak lampu jalan di rumah panjang di kawasannya.

Beliau juga bersetuju menyediakan tong sampah besar bagi membolehkan masyarakat di rumah panjang tersebut mempunyai tempat membuang sampah.

Ketika di Rumah John Lalong terdapat permintaan untuk tangki air.

Seorang penduduk di rumah panjang tersebut mencadangkan agar papan tanda diletakkan di tepi jalan untuk menunjukkan lokasi ke rumah panjang mereka.

Dr Annuar mengakhiri lawatannya di Rumah Asing Sanyut sepanjang 44 pintu di mana beliau turut beramah mesra dengan para belia di sana.

Terdapat juga permintaan penduduk di situ agar lampu jalan didirikan di kawasan rumah panjang.

SIMBOLIK: Dr Annuar menyertai majlis memotong kek di Rumah Asing.

Advertisement