Anda di sini

Keselamatan dan kesihatan tempat kerja amat dititik berat

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim

 

LAWATAN: Ismail tertarik untuk mengetahui isi kandungan sebuah buku di salah sebuah gerai pameran yang terdapat pada sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2014 baru-baru ini.

LEBIH 1,000 peserta terdiri daripada majikan, pekerja dan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi menyertai sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2014 di Kuching, baru-baru ini.

Diadakan di Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri di Kuching, majlis tersebut merupakan anjuran Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sarawak (JKKP Sarawak), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Ketua Pengarah JKKP Sarawak Datuk Ir Dr Johari Basri berkata, sambutan tersebut bertujuan mendokong usaha Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menekankan kepada pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan ‘tripartite’ dan dialog sosial.

“Pada hari ini,  bukan kita di Malaysia sahaja yang menyambutnya malah rakan-rakan kita di negara lain turut berkumpul dan menganjurkan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian program tersebut baru-baru ini.

DEMONSTRASI: Pengunjung dan peserta yang hadir ditunjukkan cara menunggang motosikal yang betul dan selamat.

Menurutnya, program sehari itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan ‘Spot the hazard’, ‘Choose it right’ dan ‘OSH Score Card’.

“Di samping itu, penerangan berkaitan peraturan baharu yang telah digazetkan iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (pengesahan, pelabelan dan helaian data keselamatan bahan kimia berbahaya) 2013 atau dikenali dengan ‘CLASS Regulation 2013’ juga diadakan,” jelasnya.

Jelasnya juga, sambutan majlis yang diadakan pada 28 April setiap tahun ini bertujuan mempromosi dan menjadikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta majikan menerusi pendidikan berterusan bagi melahirkan tenaga kerja teknikal dan profesional yang mempunyai pengetahuan dan berbudaya kerja selamat dan sihat.

“Program ini turut bertujuan memberi penjelasan dan penekanan terhadap KKP kepada pihak majikan dan pekerja menerusi ceramah dan aktiviti KKP berkenaan tanggungjawab mereka diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 supaya langkah pencegahan dapat diambil bagi mengurangkan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

“Kita juga berharap agar kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta berkaitan dapat ditingkatkan melalui majlis ini sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan melibatkan pekerja,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Penganjur iaitu Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, NIOSH dan PERKESO serta agensi kerajaan, swasta, agensi di bawah KSM dalam menjayakan sambutan itu.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Datuk Ismail Abdul Muttalib.

DIDIK DARI AWAL: Peserta muda didedahkan dengan aspek keselamatan melalui pelbagai program dan aktiviti dianjurkan sepanjang majlis.

Advertisement