Anda di sini

Pelajar, teman lelaki ditahan bantu kes jumpa mayat bayi

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Butterworth dekat sini dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki di dalam tangki pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth kelmarin.

Pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditahan di rumahnya pada jam 12.30 tengah hari kelmarin, kira-kira lima jam selepas mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui, manakala teman lelakinya berusia 18 tahun ditahan pada jam 4.30 petang semalam di Butterworth.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata siasatan awal polis mendapati pelajar terbabit dibawa bapanya ke klinik itu pada Selasa selepas mengadu sakit perut kerana senggugut.

“Ketika diperiksa doktor, remaja perempuan itu memaklumkan dia sakit perut dan mahu ke tandas dan melahirkan bayi lelaki di tandas itu,” katanya kepada pemberita selepas ‘Program High Policing’ di Kubang Semang, di sini semalam.

Beliau berkata remaja itu dipercayai panik apabila bayinya menangis lalu memasukkannya ke dalam tangki pam tandas berkenaan sebelum dia pergi ke kereta bapanya yang sedang menunggu di kawasan klinik itu.

Mazlan berkata remaja itu tidak memberitahu bapanya kejadian itu dan mereka terus pulang ke rumah.

Berdasarkan siasatan polis, pelajar itu mengaku mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya berusia 18 tahun, katanya.

Remaja perempuan itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditahan reman bagi membantu siasatan.

Pagi kelmarin, seorang pesakit wanita yang menggunakan tandas di klinik itu, menemui mayat bayi lelaki tanpa pakaian di dalam tangki pam tandas klinik itu. — Bernama

Advertisement