Anda di sini

PAC muktamad dua laporan dibentangkan Jun depan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam memuktamadkan dua laporan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kedua-dua laporan tersebut akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Jun.

“Secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan laporan tersebut yang turut melibatkan kenyataan dan maklum balas daripada pihak tertinggi seperti Ketua Polis Negara.

“Kita juga telah memberikan beberapa syor bagi penambahbaikan agensi dan badan kerajaan yang terlibat supaya kelemahan tidak berulang pada masa depan,” katanya kepada Bernama semalam selepas mempengerusikan mesyuarat dua hari PAC di bangunan Parlimen, di sini.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan tersebut, Nur Jazlan berkata bagi LHDN, pihaknya memberi tumpuan kepada beberapa aspek seperti soal kutipan dan tunggakan cukai supaya adil kepada pembayar cukai, selain tidak berlaku salah guna kuasa dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Bagi Sistem Perakaunan Akruan (SPA) yang bakal dilaksana di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri bermula 2015 nanti, Nur Jazlan berkata ia perlu diberi perhatian yang lebih teliti membabitkan pengurusan kewangan dan rekod terperinci.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut percaya sistem teknologi maklumat (IT) terkini dikendalikan KDRM mampu memudahkan proses pengutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

“Ia (proses kutipan) lebih telus dengan penggunaan IT. Jadi kita mahu pastikan juga perancangan dibuat KDRM lebih baik dengan mengambil kira pelbagai faktor selain mengelak kelemahan berlaku.

“Kastam disyor untuk belajar dari negara lain untuk pelaksanaan CBP ini dan elakkan apa yang berlaku di negara lain dari berlaku di sini,” katanya.

CBP, pada kadar 6 peratus, bakal dilaksana mulai 1 April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sebanyak 16 peratus.

Sementara itu, mengenai aset PDRM yang hilang seperti dalam laporan Ketua Audit Negara 2012, Nur Jazlan berkata masalah itu boleh diselesaikan jika cadangan PDRM diluluskan kerajaan dengan segera.

“Langkah-langkah cadangan polis belum dapat kelulusan kerajaan. Contoh, kalau dulu beli aset libatkan perbelanjaan yang besar, sekarang boleh biaya beli aset dengan cara syarikat beri terma kewangan yang lebih mudah dengan hanya bayar secara ansuran berbanding bayar terus 100 peratus.

“Tapi skim ini perlu dapat kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Selain dua laporan ini, Nur Jazlan berkata dua lagi laporan akan dimuktamadkan membabitkan projek membina loji insinerator oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Jelasnya PAC juga akan cuba memuktamadkan laporan sistem kawalan keselamatan sekolah serta projek pembinaan kapal penyelidikan RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu oleh Kementerian Pendidikan.

Menurutnya kedua-dua laporan itu akan cuba dimuktamadkan minggu depan. — Bernama

Advertisement