Anda di sini

Doktor syaki kanak-kanak OKU didera buat laporan polis

Advertisement

KUCHING: Seorang doktor dari Hospital Umum Sarawak (HUS) telah membuat laporan polis apabila seorang kanak-kanak kurang upaya yang dirawatinya menunjukkan tanda penderaan fizikal.

Ia adalah rentetan daripada pemeriksaan doktor tersebut ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang kurang upaya selepas dia dibawa ke Wad Kemalangan & Kecemasan oleh bapanya Rabu lepas.

Ketika melakukan pemeriksaan, doktor itu memerhatikan parut lama dan baharu pada badan kanak-kanak tersebut yang kelihatan seperti kesan daripada kelecuran rokok, selain lebam pada kaki kanannya.

Selain itu, buku lali dan pergelangan tangan kanak-kanak itu menunjukkan tanda ‘ligature’ yang menunjukkan tangan dan kakinya mungkin pernah diikat oleh seseorang.

Mengesyaki kanak-kanak itu mungkin telah menjadi mangsa penderaan fizikal, doktor berkenaan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sentral pada hari yang sama untuk siasatan lanjut.

Advertisement