Anda di sini

TZ FC mula langkah bergaya

Advertisement

SIBU: Pasukan TZ FC mendahului carta Divisyen 1 Liga Sibu 2014 apabila membelasah Singgah Selalu 5-0 dalam perlawanan di Stadium Tun Zaidi, hujung minggu lepas.

Kemenangan kedua itu membolehkan TZ FC mengumpul enam mata, sekali gus menduduki tangga teratas liga.

Mohd Helmy Mohd memulakan pesta gol TZ FC dengan gol pertama pada minit ke-41 dalam separuh masa pertama.

Sebaik perlawanan bersambung pada separuh masa kedua, Mohd Samsuri menjadikan kedudukan 2-0 hasil jaringan pada minit ke-49, sebelum menjaringkan gol ketiga pada minit ke-71.

Selang dua minit kemudian, giliran Mohd Fadly Rosli mencipta nama selaku penjaring menjadikan kedudukan 4-0.

Manakala Gol kelima TZ FC telah dijaringkan oleh Zuklipli Yusuf iaitu pada minit ke-74 perlawanan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA), Abdul Hajis Abdullah berkata, perlawanan tersebut telah membuka mata banyak pihak.

Ini kerana katanya, pasukan TZ FC bukan pasukan pilihan dalam Divisyen 1.

“Semua pemain telah menunjukkan kesungguhan dan bermain dengan baik sekali,” ujarnya.

Dalam satu lagi perlawanan Divisyen 1 di antara Rimba Hijau FC menentang Rascom FC, menyaksikan Rimba Hijau menang tipis 3-2.

Pasukan Rimba Hijau menerusi Rantai Julie terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-23, sebelum jaringan kedua oleh Zainal Abidin Abdul Wahab pada minit ke-40.

Sobrie Juing menghasilkan gol ketiga untuk Rimba Hijau pada minit ke-55.

Ketinggalam 3-0, pasukan Rascom enggan menggalah serta melancarkan serangan bertali arus sebelum memperolehi gol pertama pada minit ke-60 menerusi pemain penyerang, Norazan Samad.

Norazan berjaya merapatkan jurang gol dengan gol kedua pada minit ke-78, untuk kedudukan 3-2 sehingga tamat perlawanan.

Dalam perlawanan Divisyen 2, Red Hackel FC seri 2-2 menentang DD FC.

Sementara Sibu Medical Club turut seri 2-2 ketika bertemu dengan Bahtera FC.

Advertisement