Anda di sini

Tiga pasukan penguat kuasa pantau PRK Bukit Gelugor

Advertisement

GEORGE TOWN: Tiga pasukan penguat kuasa yang turut dianggotai wakil parti yang bertanding akan membantu memantau kelancaran proses pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dijadualkan 25 Mei ini.

Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata pasukan itu akan turut dianggotai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas dan wakil Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Beliau berkata setiap pasukan akan ditempatkan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Paya Terubung, Ayer Itam dan Seri Delima.

“Tugas mereka bermula selepas hari penamaan calon. Mereka akan memantau bahan-bahan kempen, cera-mah…mereka akan meng-ambil tindakan sekiranya parti yang bertanding tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan SPR,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menasihatkan parti-parti politik yang bertanding agar mendapatkan pas masuk daripada pengurus pilihan raya bagi membolehkan penyokong mereka menyertai proses penamaan calon Isnin ini (12 Mei).

Azizal berkata pihaknya menyediakan tiga khemah untuk penyokong parti di perkarangan Dewan Sri Pinang, di sini dan setiap calon yang berhasrat untuk bertanding hanya dibenar membawa masuk 100 penyokong ke pekarangan dewan.

Beliau berkata sebanyak 1,095 orang akan ditugaskan sepanjang pilihan raya kecil itu meliputi pegawai pengurus sehinggalah pemandu.

Sebanyak 17 pusat daerah mengundi akan dibuka pada pilihan raya kecil itu dengan 139 saluran untuk undi biasa dan empat saluran untuk undi awal, katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan buku Daftar Pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Ge-lugor kini boleh membelinya di pejabat SPR negeri dengan harga RM331.80.

Tinjauan Bernama di pejabat SPR negeri kelmarin  mendapati para petugas sibuk menyiapkan peralatan peti undi dan membuat persiapan untuk proses penamaan calon Isnin ini.

Kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai keluasan 28km persegi dengan jumlah pengundi berdaftar sehingga 17 April lepas ialah 82,431 orang.

Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.

Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lepas dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. — Bernama

Advertisement