Anda di sini

Skuad basikal optimis pertahan pingat emas

Advertisement

KUCHING: Skuad berbasikal Sarawak yakin dapat mempertahankan dua pingat emas dalam acara berbasikal bukit pada temasya SUKMA XVII yang akan berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun 2014 di Kangar, Perlis.

Sekalipun menjangka saingan hebat dari negeri lain, Ketua Jurulatih Dzulkaflee Hassan tetap optimis kemampuan pelumbanya untuk mengekalkan dominasi Sarawak dalam acara tersebut.

“Kita tetap mensasarkan dua pingat emas dalam acara berbasikal bukit lelaki dan wanita menerusi Garry Tay Yuan Swee dan Rosnina Minggu.

“Namun, saya tidak menolak peluang kita untuk merangkul pingat dalam acara lain seperti pecut dan lebuh raya,” katanya ketika dihubungi dari Perlis semalam.

Menurut Dzulkaf lee, Rosnina dan Garry diletakkan pelumba pilihan untuk memenangi acara yang pernah didominasi Sarawak pada SUKMA XV di Pahang pada 2012.

“Saya optimis peluang kita untuk mempertahankan emas dalam acara ini.

Cuma kita perlu berwaspada dengan pencabar dari Selangor dan Terengganu,” tambahnya.

Dzulkaflee menambah beliau turut meletakkan harapan menggunung ke bahu pelumba muda Nixson Kennedy untuk meraih pingat dalam acara pecut 1km.

Katanya, bakat pelumba dari Sibu itu digilap ketika menyertai sesi latihan di kem Majlis Sukan Negara (MSN).

Skuad berbasikal Sarawak mula menjalani latihan pendedahan di Perlis sejak awal Januari lalu bagi menghadapi SUKMA XVII.

Menurut Dzulkaflee, skuad berbasikal akan berlepas ke Tasik Kenyir, Terengganu bagi menyertai perlumbaan berbasikal bukit dan menuruni bukit yang akan diadakan dari 7-11 Mei.

“Perlumbaan ini adalah pendedahan terakhir kita dan saya berharap kesemua pelumba akan memberikan yang terbaik sebelum berdepan cabaran sebenar nanti,” ujarnya.

Sarawak turut mempertaruhkan Awang Adip Awang Sufian, Hamif Kamaludin, Mohd Fitri Hassim, Mahathir Norseman, Awang Adin Awang Sufian, Richard Yii dan Neol Lim Boon Hee dalam acara lelaki.

Manakala pelumba wanita diketuai Rosnina, Carolline George (Nur Azlin Abdullah), Aina Zafirah Ahmad Shabry, Nur Azrenna Ahmad Jumry, Carleen Wang, Norismiza Azeman dan Radin Nur Khaliesha Radin Kristino.

Mereka akan menyertai ujian masa perseorangan dan berpasukan, kriterium, lepas beramai-ramai (perseorangan dan berpasukan), 200m pecut, 1km pecut, menuruni bukit (basikal bukit), rentas desa perseorangan (basikal bukit) dan perlumbaan BMX.

Pada SUKMA XV di Pahang, Sarawak meraih dua emas dan satu perak.

Advertisement