Anda di sini

Penguatkuasaan lebih ketat di kawasan ESSCOM: Najib

Advertisement

TAIPING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peguatkuasaan lebih ketat perlu dilakukan termasuk menentukan laluan khas untuk urusan keluar masuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau berkata laluan khas itu membolehkan mereka yang keluar masuk di kawasan itu melalui pemeriksaan.

“Kalau ada laluan khas ini, maknanya sesiapa yang masuk keluar dapat diperiksa, kalau (ada yang melalui laluan) di luar kawasan tersebut maka pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah UMNO Taiping di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian penculikan Pengurus Syarikat Ternakan Ikan Dalam Sangkar warga China, Yang Zai Lin, di Pulau Baik di Lahad Datu, pada 6 Mei lepas.

Najib berkata selain itu, kawalan ketat perlu dilakukan di semua kawasan termasuk di 11 penginapan serta kawasan warga China yang menjalankan perusahaan di sana.

Najib turut melahirkan rasa kesal dengan kejadian penculikan itu.

Mengulas mengenai sasaran penculikan yang melibatkan warga Cina, Najib berkata penculik melakukan kegiatan itu kerana mahu wang tebusan dan mereka memilih mangsa yang mempunyai nilai komersil.

“Motif mereka adalah untuk cari nilai tebusan, kalau mereka dapat (mangsa) yang ada nilai komersil maka tebusan yang diletakkan makin tinggi, maka itu mereka sasarkan pelancong atau orang dari China,” katanya.

Dalam kejadian itu, lima lelaki yang menaiki sebuah bot berkuasa kuda 200 dan dua daripadanya berpakaian celoreng, bertopeng dan bersenjata, menghampiri kawasan ternakan ikan di situ dan melarikan pengurus berkenaan.

Yang, 34, berasal dari Guangzhao, telah bekerja di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong yang beroperasi sejak tahun 2006, selama tiga tahun. — Bernama

Advertisement