Anda di sini

Jurujual mengaku bersalah buang bayi dalam tandas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual di sebuah farmasi semalam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini membuang bayi yang baharu dilahirkan di dalam tandas tempat kerjanya, minggu lepas.

Remaja perempuan berusia 18 tahun dari Pasir Mas, Kelantan itu didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu secara sulit di tandas Guardian Retail Vision GCH Retail (M) Sdn Bhd, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 4 petang, 2 Mei.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh disedari rakan sekerjanya apabila rakannya itu melihat terdapat bayi yang tidak bergerak, yang baharu dilahirkan berada atas mangkuk tandas di farmasi tersebut.

Setelah beberapa kali bertanya kepada tertuduh mengenai perkara itu, tertuduh akhirnya mengaku melahirkan bayi berkenaan.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut dan tangkapan dibuat oleh pihak polis pada 3 Mei.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibu dan adiknya.

“Saya berjanji tidak akan membuat perkara ini lagi dan saya akan berubah,” katanya sebak.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga tarikh jatuh hukum. — Bernama

Advertisement