Anda di sini

Sejarah Bukit Sadok dan Panglima Rentap

Advertisement

Oleh Saleman Senin

MENGIKUT catatan sejarah (Rentap – Wikipedia, the free encyclopedia), Rentap atau nama sebenarnya Libau dilahirkan di Skrang di bahagian kedua negeri Sarawak.

Beliau adalah salah seorang pahlawan kepada Orang Kaya Pemancha Dana ‘Bayang’ yang sering mengetuai serangan ‘ngayau’ di kawasan selatan Sarawak hingga ke kawasan muara Sungai Kapuas.

Apabila Orang Kaya Pemancha Dana, sudah terlalu tua, maka Rentap mengambil alih mengetuai beberapa serangan di kawasan Lautan Sambas dan Pontianak, Indonesia. Atas keberanian dan kepahlawanan beliau maka Rentap menjadi terkenal sebagai seorang pahlawan handal dan juga menentang pemerintahan Rajah James Brooke.

Menurut buku yang ditulis oleh Kapten Henry Keppel (4) pada 4 Jun 1843, Rajah Brooke dan Keppel mengatur satu ekspedisi untuk menyerang kaum Dayak yang diketuai oleh Orang Kaya Pemancha Dana yang dikatakan sering membuat huru-hara di Sungai Saribas.

Pada 11 Jun 1843 askar Rajah Brooke membakar rumah panjang Orang Kaya Pemancha Dana di Nanga Padeh, Saribas. Pada 14 Jun 1843, askar Rajah Brooke, menyerang sebuah lagi rumah panjang Linggi ‘Mali Lebu’ di Kerangan Pinggai, Paku.

INDAH DAN DAMAI: Pemandangan alam semula jadi yang dirakamkan dari puncak Bukit Sadok.

Seterusnya pada 17 Jun 1843, mereka menyerang rumah panjang Rekaya Antau ‘Linggang Neneri’ dan Rekaya Gun ‘Mangku Bumi’ di Sungai Tawai, Rimbas.

Rajah Brooke telah mengarahkan Orang Kaya Pemancha Dana, Linggi dan seorang lagi pengikut Linggi untuk menyerahkan Rentap supaya membuat perjanjian perdamaian dan tidak menjalankan aktiviti ngayau lagi. Namun Rentap enggan berbuat demikian.

Pada 19 Ogos 1844, askar Rajah Brooke yang diketuai oleh Datuk Patinggi Ali menyerang tempat kediaman Rentap di Kerangan Peris Skrang, namun serangan ini berjaya dipatahkan oleh Rentap.

Rajah Brooke kemudian mendirikan kubu (Fort Of James) di Nanga Sungai Skrang bagi menyekat pergerakan Rentap melalui kawasan ini. Rentap dan pengikutnya menyerang Fort Of James pada tahun 1853.

Bulan Disember 1853, Rajah Brooke pergi ke hulu Sungai Skrang untuk mengadakan rundingan perdamaian namun ditolak oleh Rentap.

BERSEJARAH: Batu tapak meriam ‘Bujang Timpang Berang’ yang digunakan oleh Rentap dan pengikutnya untuk menumpaskan askar Tuan Muda Charles Brooke di Bukit Sadok pada 1857.

Pada tahun 1854, Rajah Brooke menghantar seramai 7,000 askar dari Kuching yang terdiri daripada orang Dayak dan Melayu untuk menyerang Rentap di Sungai Lang, Skrang. Rentap dan pengikutnya berusaha mempertahankan kubu mereka daripada diserang.

Beliau terkenal dengan kata-kata semangat “Agi Berdarah Agi Ngelaban”, “Agi Idup, Agi Ngelaban” (“Masih Berdarah, Masih Melawan”, “Masih Hidup Masih Melawan”). Namun serangan yang begitu hebat akhirnya memaksa Rentap dan pengikutnya mengundurkan diri ke Bukit Sadok.

Rentap dan pengikutnya kemudian memperkuatkan kedudukan mereka di Bukit Sadok dengan mengumpul pengikut yang setia kepada beliau di sepanjang Sungai Skrang dan hulu Sungai Saribas.

Rentap yang juga diberi gelaran sebagai ‘Raja Bukit’ kemudian membina kubu di kawasan curam Bukit Sadok yang ketinggiannya 2,725 kaki (830 meter) dan sukar untuk didaki oleh pihak musuh.

Pada 15 Jun 1857, Tuan Muda Charles Brooke mengadakan ekspedisi pertama bersama askarnya iaitu 3,500 Dayak dan 500 Melayu untuk menyerang kubu Rentap di Bukit Sadok.

Rentap dan pengikutnya bertindak balas dengan menggunakan sebuah meriam (1515) ‘Bujang Timpang Berang’ yang mereka perolehi selepas membunuh penjaga kubu di Lintang Batang, Alan Lee, pada tahun 1853. Rentap dan pengikutnya akhirnya berjaya menumpaskan askar Tuan Muda Charles.

Pada tahun 1858, Tuan Muda Charles mengadakan ekspedisi kedua dengan membawa  rombongan yang lebih besar untuk menangkap Rentap di Bukit Sadok. Mereka menyerang dan membakar rumah panjang di kawasan Sungai Saribas yang menyebelahi Rentap. Di samping itu,  askar Tuan Muda Charles juga membakar rumah panjang pengikut Rentap di kawasan hulu Julau.

Sekembali dari kawasan Julau, rombongan askar Tuan Muda Charles menuju ke Bukit Sadok untuk menyerang Rentap. Namun serangan askar Tuan Muda Charles ini juga berjaya dipatahkan Rentap dan pengikutnya. Ramai askar Tuan Muda Charles yang melarikan diri. Kemenangan ini menyebabkan Rentap semakin terkenal dan semakin digeruni oleh pihak musuh ketika itu.

Pada 16 Oktober 1861, Tuan Muda Charles mengadakan ekspedisi ketiga untuk menyerang Rentap di Bukit Sadok.  Pada ekspedisi kali ini, sebanyak 12 meriam telah dibawa termasuk sebuah meriam yang digelar ‘Bujang Sadok’ yang kini masih disimpan di Muzium Negeri  Sarawak.

Tuan Muda Charles menawarkan ‘Tajau Rusa’ kepada Nanang dan Luyoh iaitu anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana yang merupakan pengikut Rentap supaya mengadakan rundingan dengannya. Rundingan ini telah dibuat tanpa pengetahuan Rentap.

Nanang dan Luyoh berjanji setia kepada pemerintahan Rajah Brooke. Ini menyebabkan Rentap marah dan memusnahkan kubu yang dibina oleh Nanang dan Luyoh di kaki Bukit Sadok.

Pada 28 Oktober 1861, meriam ‘Bujang Sadok’ melepaskan 17 das tembakan dan merosakkan sebahagian daripada kubu Rentap. Rentap pula membalas tembakan dengan menggunakan meriam ‘Bujang Timpang Berang’ (kini disimpan di Pejabat Daerah Betong). Namun penembak meriam Rentap telah terkena tembakan menyebabkan darahnya terkena belerang dan akhirnya meriam ini tidak berfungsi lagi.

Apabila Rentap menyedari keadaan ini, beliau mengarahkan pengikutnya berundur dan mempertahankan kubu di kawasan dinding batu berdekatan dengan kubu.

Kubu Rentap telah dibakar namun beliau tetap tidak mahu menyerahkan diri dan berundur ke hulu Sungai Skrang di kawasan Bukit Lanjak Entimau, Lemanak dan Engkari.

Selepas itu Rentap berpindah ke Ulu Entabai, di kawasan Kanowit dan Julau.

Di sini, beliau mendirikan kubu di Bukit Stulak. Beberapa tahun kemudian beliau berpindah ke Karangan Panggil di Ulu Wak dan meninggal dunia pada 1870.

‘Lumbung’ (kubur) Rentap masih terdapat di Bukit Sibau di kawasan Sungai Hulu Budu/Kabo Saratok dan Sungai Wak Julau.

Kepahlawanan Rentap semasa melawan pemerintahan Rajah Brooke telah menjadi inspirasi kepada pejuang Dayak semasa zaman darurat Komunis. Ini termasuk Kanang Anak Langkau, Awang Anak Raweng dan ramai lagi.

Di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya, Rentap dicatat dalam sejarah sebagai perwira negara. Justeru itu kawasan kubu Rentap di Bukit Sadok perlu dipulihara dan dijaga oleh kerajaan untuk memastikan ianya terus menjadi legenda kubu kepahlawan Rentap di Bukit Sadok pada 160 tahun yang lepas.

Di samping itu, penemuan bunga Rafflesia di kawasan Bukit Sadok baru-baru ini merupakan satu anugerah alam yang amat bernilai. Ini mengundang kepada keperluan untuk menjaga kawasan tersebut daripada dimusnahkan oleh aktiviti manusia.

 

Advertisement