Anda di sini

PR sedang menuju kehancuran

Advertisement

JOHOR BAHARU: Pakatan Rakyat (PR) sedang menuju kehancuran sebagaimana Barisan Alternatif (BA) tidak lama dahulu berikutan kedegilan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, menurut seorang bekas pe-mimpin DAP Johor.

Norman Fernandez, bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor berkata kedegilan PAS  untuk melaksanakan hukum hudud tidak lebih hanyalah satu permainan politik untuk menarik kembali sokongan masyarakat Melayu.

“Apa yang dikhuatiri ketika ini adalah Pakatan Rakyat adalah seperti sedang “retak menanti belah” disebabkan kedegilan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

“Jika ia berlaku (perpecahan), ia akan mengulangi perpecahan yang berlaku pada Barisan Alternatif pada 2004 yang berpunca apabila PAS mahu mewujudkan Negara Islam di Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Norman yang merupakan seorang peguam berkata, PAS terpaksa menimbulkan isu hukum hudud ketika ini ke-rana parti itu ketandusan idea tentang cara paling berkesan untuk menarik sokongan masyarakat Melayu.

UMNO, menurutnya lebih berjaya berbanding PAS dalam menarik sokongan dan membela nasib masyarakat Melayu.

“PAS sebenarnya ketandusan idea untuk menarik sokongan orang Melayu. Ia tidak ada idea tentang cara untuk membangunkan Kelantan dan kini terpaksa bergantung kepada isu hukum hudud,” kata Norman.

Beliau menjangkakan PAS akan kehilangan sokongan masyarakat Cina yang banyak membantu calon-calonnya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas, jika ia meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Oleh itu, katanya PAS sepatutnya menggugurkan hasratnya untuk memperkenalkan hukum hudud di negara ini sebagaimana dilakukan oleh DAP yang menggugurkan konsep “Malaysian Malaysia” selepas menyertai PR. — Bernama

Advertisement