Anda di sini

Peguam wakili Kassim Ahmad bantah pertuduhan baharu

Advertisement

PUTRAJAYA: Peguam Syarie yang mewakili bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad yang didakwa menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama semalam membantah pertuduhan baharu dan pindaan dibacakan kepada Kassim.

Peguam Syarie Rosli Dahlan berkata bantahan itu dibuat ekoran tindakan Kassim, menerusi peguam sivil lain, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil kelmarin dan ia berkaitan bidang kuasa antara Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil.

Beliau turut memohon perbicaraan ditangguhkan bagi mengelak berlaku pertindihan prosiding melibatkan kes yang sama.

Kes itu sepatutnya mula dibicarakan selama dua hari bermula semalam dengan melibatkan 10 saksi.

Rosli berkata dalam saman sivil tersebut, Kassim mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang didakwa melarikannya daripada tempat tinggalnya di Kulim, Kedah.

“Saya memohon supaya perbicaraan kes ini ditangguh supaya prosiding di Mahkamah Sivil boleh berlangsung dan menunggu keputusannya kerana perkara yang dibangkitkan adalah mengenai bidang kuasa,” katanya.

Di awal prosiding Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris memohon supaya pertuduhan baharu dan pindaan dibacakan kepada tertuduh dan memohon mahkamah meneruskan perbicaraan kerana berpendapat Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri.

Hakim Syarie Azzeman Omar yang mendengar kes itu kemudiannya menetapkan 17 Julai untuk keputusan terhadap bantahan awal tersebut dan kesemua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum itu.

Pada 27 Mac lepas, Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dalam ‘Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8 di sini pada 15 dan 16 Feb lepas.

Kassim antaranya dituduh menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina selain mengingkari pihak berkuasa agama, perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis Agama Islam atau Mufti.

Kassim dituduh mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 9 akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Turut hadir di mahkamah ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Marina.

Ketika dihubungi Bernama mengenai kehadiran Dr Mahathir, Ibrahim berkata Dr Mahathir hadir bukan sebagai saksi kerana tiada sebarang sapina diserahkan kepadanya sehingga semalam. — Bernama

Advertisement