Anda di sini

KM: Harta karun sebenar ialah pelaburan yang masuk ke Melaka

Advertisement

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka tidak pernah menetapkan matlamat ‘mesti cari sampai dapat’ pencarian ‘harta karun’ di Pulau Nangka yang hangat diperbualkan ramai sekarang.

Menegaskan demikian, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata: “Bagi saya dan kerajaan negeri sendiri minat terhadap harta karun di pulau itu sebenarnya bukan suatu perkara yang ‘all out’ (sedaya upaya) mesti jumpa.

“Tetapi lebih kepada ‘no harm trying’ (tak salah mencuba). Kalau jumpa baguslah, kalau tak jumpa tiada apa-apa.

“Harta karun yang sebenar bagi saya ialah pelaburan yang masuk ke negeri ini yang mampu memberikan kemakmuran ekonomi kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Baru-baru ini dua keping artifak lama berbentuk syi-ling ditemui syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di pulau ter-sebut.

Syarikat itu ditugas mengesan dan mencari harta didakwa bernilai berbilion ringgit daripada Zaman Ke-sultanan Melayu Melaka.

Idris berkata dalam perjanjian pencarian dengan syarikat berkenaan kerajaan negeri langsung tidak mengeluarkan sebarang belanja.

Beliau berkata kerajaan negeri sebenarnya tidak akan mendapat faedah wang ringgit secara langsung sekiranya harta itu ditemui.

Ia memikul amanah me-ngekalkan warisan dan sejarah di negeri ini.

Idris berkata adalah lumrah bagi masyarakat memberi perhatian tinggi kepada kepercayaan berunsur misteri dan keinginan membongkar misteri seperti ‘harta karun’ itu.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat jangan terlalu taksub tentang perkara se-perti itu sehingga melakukan hal-hal bertentangan dengan Islam.

Ditanya mengapa kerajaan negeri berminat tentang harta itu sekarang sedangkan cerita mengenainya telah tersebar luas di negeri ini sejak lebih 25 tahun lepas, beliau berkata ini kerana maklum balas daripada masyarakat tempatan pada masa ini.

“Kita memandang serius pencarian barang purba ini kerana mendengar pendapat orang tempatan sekarang.

“Kita berasaskan dapatan mereka, kajian mereka, atau pengalaman mereka, namun saya tegaskan sekali lagi ia (harta itu) bukan sesuatu yang mesti ada,” katanya. — Bernama

Advertisement