Anda di sini

Siap sedia beraksi di pentas dunia

Advertisement

BANGGA: Pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Ireland pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 2014 di Stadium Hoki Indera Mahkota di Kuantan, Pahang pada Sabtu lepas. — Gambar Bernama

Malaysia perlu pemain berpengalaman galas cabaran lebih sukar

KUANTAN: Kapten skuad hoki negara, Azlan Misron berpendapat bahawa Malaysia memerlukan khidmat pemain berpengalaman untuk menggalas cabaran yang lebih sukar pada Piala Dunia di The Hague, Belanda dari 31 Mei hingga 15 Jun depan.

Beliau berkata berdasarkan persembahan skuad negara pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 yang menutup tirai hari ini, jelas kelihatan benteng pertahanana negara perlu diberi perhatian serius jika tidak ingin menjadi pasukan belasahan.

“Apapun terpulang kepada jurulatih Muhammad Dharmaraj Abdullah untuk membuat keputusan akhir pemilihan pemain bagi menggalas cabaran ke Belanda, kerana beliau lebih arif dalam perkara ini,” katanya.

Walaupun gagal mara ke final, Malaysia berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Kanada 4-2 pada perlawanan penentuan kelmarin.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia ialah kedudukan keempat pada edisi pertama di Kuala Lumpur pada 2001 dan 2012 di Argentina.

Azlan berkata kejayaan itu diharap dapat menyuntik semangat pemain untuk mencipta kejutan pada saingan Piala Dunia nanti.

Sementara itu, pemain berpengalaman Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil turut bersetuju dengan pendapat Azlan bahawa khidmat pemain senior diperlukan bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada Piala Dunia.

Beliau berpendapat pemain remaja dalam skuad senior memerlukan masa untuk mendapat keserasian dan mustahil dapat dilakukan dalam tempoh masa singkat.

Sehubungan itu, Pemain skuad hoki negara diminta segera memperbaiki kelemahan dalam tempoh tiga minggu sebelum menghadapi Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, akhir bulan ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pasukan negara masih belum berada di tahap yang terbaik dan beberapa kelemahan perlu diatasi menjelang Piala Dunia nanti.

“Pasukan kita belum 100 peratus mantap dan saya ada buat teguran kepada jurulatih untuk kita perkemaskan pasukan sebelum ke Piala Dunia.

“Bagaimanapun apa yang dapat dilihat, semangat pemain negara kental (dalam Kejohanan Hoki Piala Cabaran Juara-Juara 1 di sini), itu perkara yang positif dan saya berbangga,” titahnya.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan seminar kejurulatihan dan pengadilan hoki.

Kejohanan Hoki Piala Cabaran Juara-Juara 1 melibatkan lapan pasukan antarabangsa itu merupakan medan terbaik untuk menguji barisan pemain di bawah dikendalikan jurulatih, Muhammad Dharmaraj Abdullah. — Bernama

Advertisement