Anda di sini

Sarawak komited majukan bioteknologi, kata Adenan

Advertisement

BIOTEKNOLOGI: Jabu (dua kiri) dan Abu Bakar (kiri) bersama tetamu kehormat lain melihat produk bioteknologi yang dipamerkan sempena Bio Borneo 2014.

Tumpu penyelidikan berterusan, pembangunan, penggunaan sumber semula jadi bagi farmaseutikal, industri aplikasi

Oleh Nick Fletcher //

KOTA SAMARAHAN: Selain pembangunan pertanian dan akuakultur, Sarawak juga memberi tumpuan kepada penyelidikan berterusan, pembangunan dan penggunaan sumber semula jadi bagi farmaseutikal serta industri aplikasi.

Untuk itu, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) sebagai pusat sumber produk semula jadi tumbuhan dan mikrob.

“Tumbuh-tumbuhan seperti yang kita tahu memegang kunci kepada banyak sebatian biokimia baharu dan yang berpotensi boleh dimajukan untuk farmaseutikal, terapeutik, kosmetik, makanan, perisa dan wangian.

“Mikrob atau mikroorganisma, sementara itu telah ditemui untuk menjadi serba boleh dan mempunyai potensi menjadi titik permulaan ekonomi bio global.

“Ia boleh menjadi produk daripada industri farmaseutikal untuk pengeluaran berskala besar bahan kimia dan bahan bakar bio,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu pada Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Bio Borneo 2014 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) MOSTI Dr Zulkifli Mohamed Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal dan Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS Profesor Dr Kopli Bujang.

Terdahulu, Adenan berkata Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian dari segi kaum dan sumber biologi.

Tambah beliau, setiap komuniti di Sarawak juga telah berabad-abad bergantung kepada pengetahuan tradisional yang diamalkan secara turun-temurun untuk menggunakan sumber secara mapan dan menguruskan sumber di sekeliling mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita memelihara ilmu pengetahuan tradisional dan memastikan ia diberikan pengiktirafan yang tinggi kerana ia merupakan satu titik permulaan dalam membangunkan ekonomi bio.

“Untuk memastikan kita membangunkan ekonomi bio dengan cara yang benar-benar mapan dan memberi manfaat kepada komuniti tempatan, kerajaan negeri komited untuk membangunkan kemahiran dan infrastruktur yang perlu melalui pelbagai inisiatif termasuk SCORE,” katanya.

Jelas beliau, SCORE memainkan peranan penting dalam memastikan kerajaan bukan sahaja mengekalkan tetapi juga membangun dari segi tenaga kerja serta kecemerlangan sains dalam ekonomi bio,” katanya.

Advertisement