Oleh Agnes Tugong //

KENANGAN: Mawan (tiga kiri) bergambar bersama Paulus Palu Ngumbang (dari kanan), Rosey Yunus, Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran dan Dato Sri Wong Soon Koh di Kompleks DUN di Kuching semalam.
Mereka kumpulan pemimpin wanita pertama dalam negara bertindak menentang presiden parti
KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) merupakan kumpulan pemimpin wanita pertama dalam negara yang bertindak menentang presiden parti.
Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom yang kecewa dengan tindakan itu berkata mereka merupakan wanitawanita yang baik dan tidak menyangka akan bertindak sedemikian.
“Saya telah bercakap dengan mereka sebelum ini dan memberi penjelasan kepada mereka sebelum mereka mengambil tindakan yang tidak munasabah.
“Disebabkan tindakan mereka ini, mereka sendiri perlu bertanggungjawab atas yang mereka lakukan kerana pada saya jika anda adalah pemimpin anda perlu melihat perkara sejelasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Upacara Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini semalam.
Tambah Mawan, jika anda tidak menghargai perpaduan dalam Barisan Nasional (BN) dan menentangnya maka ia sama ada anda kekal atau keluar.
“Saya beranggapan bahawa tiada isu yang tidak dapat diselesaikan antara saya dan mereka tetapi saya percaya ada sesuatu yang tersirat di sebalik perkara ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang akan campur jika SPDP gagal menyelesaikan masalah parti, Mawan memberitahu beliau tiada masalah untuk itu.
Malah beliau berpendapat bahawa Adenan ada hak untuk campur tangan dan ambil tahu akan masalah yang dihadapi parti demi kepentingan BN.
“Saya tidak mempunyai masalah jika Adenan campur tangan dalam SPDP kerana sebagai pengerusi BN beliau berhak untuk berbuat demikian demi kepentingan BN.
“Saya percaya beliau tidak akan membiarkan apa yang berlaku dalam SPDP kerana jika tidak ia akan menjejaskan BN secara keseluruhannya,” tambahnya.
Dalam pada itu Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial juga menyatakan bahawa campur tangan Ketua Menteri akan mampu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi kini.
Beliau juga percaya ada penyelesaian untuk masalah ini dan sebagai presiden beliau tidak akan lepas tangan daripada masalah ini.