Anda di sini

Penunggang basikal diminta ambil langkah keselamatan di jalan raya

Advertisement

MELAKA: Penunggang basikal diminta mengambil langkah keselamatan dengan memakai topi keledar serta mengenakan pakaian yang cerah bagi memudahkan mereka dilihat pengguna jalan raya lain.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata langkah itu perlu memandangkan kemudahan laluan basikal yang belum meluas di negara ini sekali gus mengelak berlakunya kemalangan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam (kelmarin)  memakai topi keledar (pada acara KL Pagi Bebas Kenderaan), itu memberikan mesej yang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari dan keputusan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) di sini, semalam.

Perdana Menteri kelmarin bersama-sama kira-kira 10,000 peserta menyertai acara kayuhan KL Pagi Bebas Kenderaan anjuran DBKL bagi menyokong dasar kerajaan mengurangkan 40 peratus pelepasan asap karbon dioksida menjelang 2020.

Tam berkata pemandu kenderaan diminta turut memberi perhatian kepada penunggang basikal kerana mereka mudah terdedah dengan kecederaan dan kematian jika berlaku kemalangan.

Dalam pada itu, Tam berkata trend berbasikal yang semakin digemari masyarakat pada masa ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk memberi kemudahan kepada golongan itu.

Sebagai contoh, katanya kenderaan awam seperti bas dan transit rel ringan (LRT) perlu menyediakan ruang khas bagi memudahkan penunggang membawa basikalnya ke sesuatu destinasi selain mewujudkan kawasan parkir basikal yang selamat.

“Majikan pula boleh menyediakan tempat mandi bagi pekerja yang menunggang basikal ke tempat kerja bagi keselesaan mereka,” katanya. — Bernama

Pencarian MH370 masuk fasa baharu

Usaha akan dipergiat di dasar laut dengan kerjasama sektor swasta

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mengesan pesawat MH370 yang hilang melalui usaha mencari dari udara, di permukaan dan di bawah air sejak 57 hari lalu, pencarian kini akan dipergiat di dasar laut Lautan Hindi selatan termasuk untuk memetakan kawasan pencarian.

Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata pemetaan demografi lautan dijangka mengambil masa enam minggu, kerana sebahagian besar kawasan itu tidak pernah dibuat pemetaan sebelum ini.

Ini perlu dilakukan untuk memahami dasar laut kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mempengerusikan perbincangan tiga hala dengan pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan Cina Yang Chuantang.

Perjumpaan itu diadakan di bangunan Parlimen Australia di Canberra.

Menurut laporan sebelum ini pencarian itu perlu fokus kepada dasar laut kerana besar kemungkinan sebarang serpihan tidak akan ditemui di permukaan laut kerana kebanyakannya kini sudah tentu dipenuhi air dan tenggelam ke dasar laut.

Lautan Hindi merupakan laut ketiga terbesar di dunia dengan titik paling dalam ialah 8,047 meter.

Truss berkata memandangkan kedalaman lautan itu memerlukan pelbagai peralatan canggih termasuk sonar dan kenderaan autonomi dalam air, sektor swasta dengan kemampuan dan keupayaan yang ada akan bekerjasama menyertai misi itu.

Katanya, sesetengah peralatan akan disediakan oleh kerajaan-kerajaan yang membantu dalam pencarian itu dan kebanyakannya daripada syarikat-syarikat swasta.

Menurut Truss, Bluefin-21 Tentera Laut Amerika Syarikat telah disewa untuk sebulan lagi dan akan mengambil bahagian dalam fasa baharu pencarian ini, bersama kapal Ocean Shield, Australia yang buat sementara ini berada di pelabuhan untuk diservis.

Menyifatkan usaha mencari itu sebagai “antara yang paling sukar pernah dilakukan di mana-mana dalam dunia ini” Truss berkata pihak berkuasa dari tiga negara itu akan juga berjumpa dengan pakar-pakar antarabangsa Rabu ini untuk menganalisis data yang dikumpulkan mengenai penerbangan yang hilang itu serta bagi membincangkan tentang aset yang diperlukan untuk fasa baharu itu.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut tempat mesyuarat pada Rabu ini.

Kami yakin bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh, kawasan pencarian adalah betul, tetapi dari segi praktikalnya, keyakinan itu belum lagi bertukar menjadi kenyataan dengan penemuan sebarang kesan daripada pesawat itu,” katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada jam 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama. — Bernama

Advertisement