Anda di sini

Penemu duga harus sensitif

Advertisement

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah (gambar) mengingatkan individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sesi temu duga agar lebih sensitif dengan keadaan dan konteks calon yang ditemu duga.

Beliau yang ditemui semalam berkata, individu yang dipertanggungjawabkan ini seharusnya memahami peranan dan tujuan mereka menemu duga iaitu bergantung kepada latar belakang calon serta bidang yang dimohon.

“Kadang-kadang kita sendiri pernah mengalami temu duga dan diajukan soalan yang membuatkan kita berfikir apa kaitan soalan tersebut dengan tujuan temu duga.

“Sebab itu saya bersetuju dengan apa yang telah diperkatakan oleh banyak pihak bahawa individu yang dipilih untuk menemu duga haruslah berintegriti, berkredibliti dan bukan calang-calang orangnya,” katanya.

Tambah Fatimah, bagi mengelak insiden yang sama berulang taklimat harus diberikan terlebih dahulu kepada penemu duga sebelum menemu duga calon.

“Saya percaya ini telah dilakukan sebelum ini tetapi kadang-kadang kita mengambil mudah sesuatu perkara. Insiden ini adalah peringatan bahawa kita tidak boleh mengambil mudah dalam apa-apa perkara.

“Dalam insiden ini jika tujuan temu duga tidak mencapai objektif kita mungkin akan kehilangan calon yang berpontensi hanya kerana kegagalan menjawab soalan yang tidak berseuaian,” tambahnya.

Ditanya sama ada insiden ini merupakan yang pertama di Sarawak, Fatimah memberitahu beliau tidak pasti melainkan calon-calon yang ditemu duga tampil membuat aduan atau laporan.

Terdahulu sebelum ditemui, Fatimah menghadiri Upacara Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, Petra Jaya di sini.

Dalam pada itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing sebelum ini meluahkan kebimbangannya mengenai bagaimana seorang pelajar bukan Islam ditanya soalan berkaitan agama Islam semasa temu duga untuk biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Advertisement