Anda di sini

Pencarian MH370 masuk fasa baharu

Advertisement

Usaha akan dipergiat di dasar laut dengan kerjasama sektor swasta

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mengesan pesawat MH370 yang hilang melalui usaha mencari dari udara, di permukaan dan di bawah air sejak 57 hari lalu, pencarian kini akan dipergiat di dasar laut Lautan Hindi selatan termasuk untuk memetakan kawasan pencarian.

Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata pemetaan demografi lautan dijangka mengambil masa enam minggu, kerana sebahagian besar kawasan itu tidak pernah dibuat pemetaan sebelum ini.

“Ini perlu dilakukan untuk memahami dasar laut kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mempengerusikan perbincangan tiga hala dengan pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan Cina Yang Chuantang.

Perjumpaan itu diadakan di bangunan Parlimen Australia di Canberra.

Menurut laporan sebelum ini pencarian itu perlu fokus kepada dasar laut kerana besar kemungkinan sebarang serpihan tidak akan ditemui di permukaan laut kerana kebanyakannya kini sudah tentu dipenuhi air dan tenggelam ke dasar laut.

Lautan Hindi merupakan laut ketiga terbesar di dunia dengan titik paling dalam ialah 8,047 meter.

Truss berkata memandangkan kedalaman lautan itu memerlukan pelbagai peralatan canggih termasuk sonar dan kenderaan autonomi dalam air, sektor swasta dengan kemampuan dan keupayaan yang ada akan bekerjasama menyertai misi itu.

Katanya, sesetengah peralatan akan disediakan oleh kerajaan-kerajaan yang membantu dalam pencarian itu dan kebanyakannya daripada syarikat-syarikat swasta.

Menurut Truss, Bluefin-21 Tentera Laut Amerika Syarikat telah disewa untuk sebulan lagi dan akan mengambil bahagian dalam fasa baharu pencarian ini, bersama kapal Ocean Shield, Australia yang buat sementara ini berada di pelabuhan untuk diservis.

Menyifatkan usaha mencari itu sebagai “antara yang paling sukar pernah dilakukan di mana-mana dalam dunia ini” Truss berkata pihak berkuasa dari tiga negara itu akan juga berjumpa dengan pakar-pakar antarabangsa Rabu ini untuk menganalisis data yang dikumpulkan mengenai penerbangan yang hilang itu serta bagi membincangkan tentang aset yang diperlukan untuk fasa baharu itu.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut tempat mesyuarat pada Rabu ini.

“Kami yakin bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh, kawasan pencarian adalah betul, tetapi dari segi praktikalnya, keyakinan itu belum lagi bertukar menjadi kenyataan dengan penemuan sebarang kesan daripada pesawat itu,” katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada jam 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama. — Bernama

Advertisement