Anda di sini

Pemandu lori hilang ketika hantar makanan dalam tin

Advertisement

KUCHING: Seorang pekerja Global Shine Sdn Bhd dilaporkan hilang selepas membuat penghantaran rutin pada Sabtu lepas.

Dia yang dikenali sebagai Wong Ming Young dikatakan dilihat kali terakhir ketika melakukan penghantaran makanan dalam tin kepada pelanggan di Batu 17 Jalan Kuching-Serian pada hari tersebut.

Lelaki berumur awal 50-an itu yang memandu lori Daihatsu seberat tiga tan berwarna putih dengan nombor pendaftaran QKT5577 secara berseorangan, dijadualkan kembali ke kilang syarikat itu di Jalan Demak Laut selewat-lewatnya jam 5 petang.

Bagaimanapun, cubaan majikan serta ahli keluarga untuk menghubunginya gagal dan menemui jalan buntu.

Bimbang atas keselamatan mangsa, kedua-dua pihak membuat laporan polis pada Ahad.

Sesiapa yang mengenali dan ternampak Wong atau menjumpai lori berkenaan diminta menghubungi talian 082-433515 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Advertisement