Anda di sini

Malaysia berazam teruskan pencarian MH370, kata Najib

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia berazam untuk meneruskan usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan kerjasama negara-negara rakan walaupun sehingga kini masih belum berhasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata misteri kehilangan MH370 tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia apabila sistem telekomunikasi pesawat dipadamkan dan kaedah pencarian untuk mengesan pesawat belum diguna pakai.

“Meskipun kita belum berhasil sehingga hari ini tetapi kerajaan berazam untuk meneruskan usaha pencarian dengan kerjasama rakan-rakan dari negara-negara lain terutamanya Australia yang menunjukkan komitmen luar biasa membantu Malaysia mencari pesawat yang dimiliki oleh kita,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada jam 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu dengan pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan sebelum di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 ‘berakhir di selatan Lautan Hindi’.

Pada perhimpunan bulanan itu, Najib turut menyatakan bahawa Malaysia telah menunjukkan kisah kejayaan proses transformasi yang begitu besar dalam segenap lapisan kehidupan rakyat negara ini kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang melawat negara ini bulan lepas.

Beliau berkata ketika lawatan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966, Malaysia hanya mampu membawa pemimpin Amerika Syarikat itu melawat sebuah ladang getah di sebuah rancangan FELDA yang kemudiannya dinamakan Rancangan FELDA Lyndon.

Namun, katanya setelah 48 tahun, Obama pula melihat pertumbuhan pesat Malaysia yang kini menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya.

“Ini sesuatu yang kita boleh banggakan. Ini berlaku antara faktornya kerana kita bukan sahaja memberi pertimbangan atas keperluan semasa ataupun jangka pendek tetapi kita mempunyai kerajaan dan pentadbiran yang selama ini mampu membuat perancangan jangka panjang untuk negara kita,” katanya.

Sempena lawatan bersejarah Obama selama tiga hari ke Malaysia pada 26 hingga 28 April lepas, pemimpin kedua-dua negara beriltizam meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif dengan objektif memperkukuh kepentingan bersama dan nilai bersama rakyat.

Bagi menandakan fasa baharu perkongsian komprehensif itu, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh mekanisme dialog dalam bidang utama termasuk kerjasama politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan serta alam sekitar, sains, teknologi dan tenaga. — Bernama

Advertisement