MIRI: Seorang lelaki didenda RM1,700 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan selama tempoh dua tahun mulai tarikh jatuh hukuman.
Haris Mohd Fauzi, 25, dari Kampung Lopeng Tengah di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun serta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.37 pagi, 16 Mac 2013 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.