Anda di sini

Kerajaan perlu selaras peraturan berkaitan pengangkutan darat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelaras semula peraturan dan bidang tugas agensi-agensi yang terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan darat bagi mengelak timbul salah faham terhadap tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan semula itu penting kerana sistem pengangkutan darat kini berkembang pesat dengan pelbagai jenis perkhidmatannya.

“Ini penting untuk memudahkan pemahaman terhadap bidang tugas masing-masing, kita semua bekerja untuk satu matlamat iaitu menentukan sistem pengangkutan awam darat yang efisien dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Syed Hamid berkata sebagai contoh apabila berlaku kemalangan melibatkan pengangkutan awam, orang ramai akan menunding jari kepada SPAD sedangkan terdapat jabatan atau agensi lain yang sepatutnya mengambil tindakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) di sini semalam.

Syed Hamid berkata setiap agensi kerajaan disaran memahami akta masing-masing dan melaksanakan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka.

Sebanyak 19 pengusaha syarikat bas ekspres hadir dalam mesyuarat agung tahunan ke-21 itu dan antara usul mesyuarat itu termasuk cadangan menaikkan tambang bas ekoran kenaikan kos bahan api. — Bernama

Presiden Pembawa, Tajudin Mohamad Yunus berkata sudah tiba masanya kerajaan perlu menimbang permohonan persatuan untuk menaikkan harga tambang bas kerana separuh daripada harga sekarang adalah kos yang ditanggung oleh syarikat termasuk kos operasi dan tol. — Bernama

Advertisement