Anda di sini

Kerajaan jamin bekalan makanan sentiasa mencukupi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, berkualiti dan halal untuk menampung keperluan rakyat, persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan, kerajaan tidak berhadapan sebarang masalah dalam memenuhi permintaan bekalan makanan utama, antaranya beras, ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.

Malah, pengeluaran bekalan makanan di negara ini dapat dihasilkan seiring dengan permintaan rakyat, katanya semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Adam Abdul Hamid yang bertanya mengenai sasaran program bekalan makanan agar sentiasa mencukupi, berkualiti serta halal.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan empat jelapang padi baharu di Kota Belud dan Batang Lupar di Sarawak serta di Rompin dan Pekan, Pahang.

“Pembukaan jelapang padi baharu itu dijangka mampu hasilkan 250,000 metrik tan padi setahun,” katanya.

Mengenai bekalan ikan, Tajuddin berkata negara hanya menggunakan 1.4 juta metrik tan ikan setahun termasuk 300 metrik tan yang diimport, yang menunjukkan bekalan makanan itu sentiasa mencukupi.

Bagi meningkatkan pengeluaran daging lembu, beliau turut mengalu-alukan penyertaan penternak yang berminat untuk mengusahakan kira-kira 60 fidlot di seluruh negara.

Ini kerana negara menghadapi kekurangan 122,000 tan metrik bekalan daging lembu pada tahun lepas, katanya. — Bernama

Advertisement