Anda di sini

CBP rapatkan jurang pendapatan rakyat

Advertisement

ALOR GAJAH: Cadangan menangguhkan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sehingga jurang pendapatan antara rakyat diselesaikan adalah tidak relevan kerana cukai itu sendiri boleh merapatkan jurang berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata melalui sistem percukaian berkesan dalam CBP negara bakal memperoleh pendapatan lebih tinggi dan hasil itu dapat disalurkan bagi menambah baik kehidupan, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau berkata tindakan untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat terutamanya antara masyarakat di bandar dan luar bandar perlu dilakukan segera dan tidak perlu menunggu faktor tertentu dilaksana terlebih dahulu.

“Cadangan itu bagaikan persoalan antara ayam dan telur, yang mana datang dahulu, walhal kita tidak perlu pun tunggu apa-apa…melalui CBP kita ada peluang tingkat pendapatan rakyat, kita mesti terus ambil peluang ini kenapa perlu tunggu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Bangunan Canselori Kolej Risda di kampus kolej itu di Ayer Pa’abas di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad yang juga pengerusi kolej.

Majlis itu turut menyaksikan Kolej Risda menandatangani perjanjian persefahaman dengan Open Universiti Malaysia (OUM) melibatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan pengurusan ditandatangani Wan Mohamad Zuki dan Presiden OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Pada Sabtu lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan sebagai berkata CBP masih belum sesuai dilaksanakan kerana jurang pendapatan antara rakyat di negara ini dakwanya amat tinggi.

Mohd Shafie berkata CBP melalui pengecualian cukai ke atas barangan makanan tertentu juga dilihat dapat membantu meringankan beban hidup seterusnya meringankan kesan ke atas pendapatan yang diperoleh rakyat.

Selain itu katanya penambahan hasil, membolehkan kerajaan mewujudkan lebih banyak inisiatif seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat di luar bandar.

Beliau tidak menafikan CBP mempunyai kesan ekonomi tertentu seperti inflasi bagaimanapun beliau yakin kerajaan mempunyai mekanisme yang berkesan supaya kesan seperti itu tidak akan membebankan rakyat.

“Apa yang penting sekarang rakyat harus faham cukai ini boleh bantu mereka, sekiranya mereka tidak faham atau tidak setuju saya nasihatkan mereka cari saluran yang betul untuk luahkan bukan melalui demonstrasi jalanan yang menyusahkan orang lain,” katanya. — Bernama

Advertisement