Anda di sini

Bukit Sadok sarat sejarah, perlu dimaju

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

CANTIK: Kuntuman bunga rafflesia yang ditemui di puncak Bukit Sadok.

JEJAK PAHLAWAN: Peta Google earth menunjukkan kawasan treking ‘Rentap Trail’ di Bukit Sadok.

MUNGKIN ramai yang beranggapan bahawa Bukit Sadok hanya merupakan tempat yang menjadi kubu misteri legenda pahlawan Iban yang bernama Rentap atau Libau sekitar 160 tahun lampau yang menentang penjajah British, Rajah Brooke demi mempertahankan tanah air daripada diceroboh oleh pihak musuh.

Rentetan sejarah membuktikan bahawa banyak peristiwa yang berlaku sebelum kemerdekaan dan ada yang hanya diceritakan menerusi rantaian kata-kata, dari mulut ke mulut, namun peristiwa tinggalan Bujang Berani Panglima Rentap terus menjadi ingatan masyarakat.

Bagi Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong, Galong Luang, legenda kepahlawanan Rentap yang telah tertulis sebagai artifak sejarah membuatkan beliau tergerak untuk mengkaji beberapa catatan yang membolehkan kawasan Bukit Sadok dibangunkan menjadi kawasan sejarah.

Tinggalan Rentap ini dapat dimajukan sebagai pusat pelancongan untuk masyarakat luar dan pengkaji sejarah selain pencinta alam yang menggemari pelbagai aktiviti yang boleh dijadikan kajian.

Bertugas di bahagian Betong merupakan peluang yang sangat manis baginya yang sebelum itu merupakan Pegawai Daerah Song, Kapit apabila dilantik sebagai Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong.

Bermula dari sini, beliau terus berusaha untuk merancakkan pelbagai program yang dapat memberi manfaat dan boleh dijadikan sebagai satu daya penarik kepada bidang yang beliau pegang.

Lantaran itu, beliau merangka pelbagai program yang membolehkan satu langkah drastik dilakukan untuk membangunkan kawasan Bukit Sadok dengan lebih berkesan dan terancang.

Bermula dengan Ekspedisi Menjejaki Kubu Panglima Rentap Di Bukit Sadok pada 25 hingga 26 Mac lalu yang disertai seramai 51 peserta telah memberikan satu gambaran yang positif untuk usaha pembangunan dijalankan dengan lebih sempurna dan langkah-langkah yang akan dirancang dengan lebih teratur menerusi pelbagai penambahbaikan dalam ekosistem dan keperluan yang seharusnya disediakan di kawasan tersebut.

“Pada mulanya saya agak khuatir untuk menyertai program ekspedisi yang sebenarnya telah beberapa kali dianjurkan sejak beberapa tahun yang lalu dengan disertai  masyarakat di Betong selain melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

“Sebagai orang baharu dan pertama kali menyertai ekspedisi sebegini adalah sesuatu yang amat bermakna kepada saya. Justeru, saya telah merancang satu percubaan yang lebih terarah kepada pendekataan menguji dan mengira jarak yang digunakan untuk sampai ke puncak selain meneliti persekitaran dan keperluan yang seharusnya diwujudkan dalam kawasan terbabit untuk kemudahan pengunjung serta pelancong.

“Sebelum itu saya diberitahu, untuk sampai ke puncak Bukit Sadok perjalanan mengambil masa hampir lima jam melalui jalan sejauh kira-kira 6.9km dari kawasan Jambu Kerapa ke puncak bukit tersebut.

“Namun begitu, disebabkan terdapatnya laluan jalan yang boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Jambu Kerapa hingga ke Bukit Sanggau sejauh 3.4km, maka masa untuk sampai boleh dikurangkan kira-kira dua setengah jam,” katanya.

Menurut Galong, Bukit Sadok memiliki keistimewaan yang tersendiri dengan flora dan fauna yang amat cantik dan sukar untuk digambarkan dengan ungkapan kata-kata tanpa datang sendiri dan adalah sesuatu yang amat merugikan kepada pencinta alam dan penggemar aktiviti treking jika tidak menjejakkan kaki ke kawasan puncak.

Keindahan tersebut jelas terbukti dengan wujudnya pelbagai spesies tumbuhan yang tidak terdapat di kebanyakan tempat serta spesies yang jarang ditemui seperti bunga rafflesia.

Dengan penemuan spesies bunga rafflesia ini akan menjadikan ekspedisi yang dianjurkan lebih menarik selain penemuan pelbagai lagi spesies yang begitu unik dan cantik.

Oleh itu katanya, kawasan Bukit Sadok memerlukan tindakan segera pihak berkuasa untuk memelihara dan menjaganya. Sekiranya tindakan tidak diambil maka kawasan semula jadi yang mempunyai nilai sejarah tersebut mungkin akan diterokai dengan aktiviti pertanian oleh penduduk di kawasan tersebut.

“Mengikut pemerhatian kami kawasan aktiviti pertanian di kawasan ini lebih kurang 1.5km dari kawasan Bukit Sadok mungkin akan merencatkan keindahan jika tidak dikawal dan mendapat perhatian pihak kerajaan,” tegasnya.

Kata Galong, beliau juga telah mendapat maklum balas daripada penduduk rumah panjang dari Jambu Kerapak, Perdu dan Keranggas selain beberapa agensi kerajaan untuk mencadangkan pelbagai program pembangunan di kawasan Bukit Sadok seperti menaik taraf dan membina jalan dari Jambu Kerapak hingga ke Bukit Sanggau sejauh 3.4km.

Jalan sedia ada dibina di bawah Projek Jalan penghubung Desa (JPD) bagi menghubungkan dua buah rumah panjang iaitu Rantau Lelayang dan Batu Pesok Ulu Sungai Layar.

Jalan tersebut merupakan jalan tanah merah yang agak curam, sempit dan amat berbahaya.

Oleh itu Galong mencadangkan supaya ia dinaik taraf ke jalan batu kerikil dengan membuat sedikit pembesaran dan mengurangkan kecuraman di kawasan tertentu jalan tersebut.

Selain itu, Galong juga mencadangkan pembinaan jalan dari Bukit Sanggau hingga ke kaki Bukit Tugong sejauh 1.6km. Pada masa ini jalan dari kaki Bukit Sanggau ke kaki Bukit Tugong hanyalah merupakan laluan pejalan kaki yang dicangkul oleh penduduk di kawasan tersebut dan boleh dilalui motosikal.

Katanya, beberapa pemilik tanah yang mereka temui di kawasan tersebut bersetuju sekiranya jalan dibina melalui laluan sedia ada tanpa memohon sebarang pampasan daripada kerajaan.

“Sekiranya jalan ini dibina melalui kawasan ini maka laluan untuk mendaki ke Bukit Sadok dapat dipendekkan. Dalam masa sama pondok rehat juga perlu dibina kerana  pondok rehat yang sedia ada yang dibina oleh Majlis Daerah Betong adalah di kawasan laluan lama ke Bukit Sanggau. Oleh itu, adalah dicadangkan untuk membina dua buah pondok rehat berserta dengan kemudahan tandas dan tangki air iaitu di kawasan Bukit Sanggau dan kaki Bukit Tugong. Luas pondok dicadangkan 16 kaki x 12 kaki,” jelasnya lagi.

Selain itu, Galong berpendapat papan tanda ke Bukit Sadok juga amat penting dan ia disarankan didirikan di simpang Jambu Kerapa menuju

ke Rantau Lelayang, simpang Rantau Lelayang ke Bukit Sangau, Bukit Sanggau, simpang menuju ke Bukit Tugong dan Simpang berdekatan dengan simpang kedudukan bunga rafflesia.

Bagi kemudahan penginapan pelancong, Galong mencadangkan pembinaan domitri ala rumah panjang di kawasan bukit tersebut.

Dengan adanya kemudahan penginapan, maka pengunjung atau pelancong tidak perlu lagi membawa atau mendirikan khemah.

Selain itu, kawasan Bukit Sadok juga tidak ada kemudahan tandas tetapi hanya mempunyai sebuah pondok rehat bersaiz 12 kaki x 12 kaki  dengan sebuah tangki air (200 liter) plastik yang disediakan oleh Majlis Daerah Betong.

“Sehubungan itu juga, adalah dicadangkan agar kerajaan atau pihak tertentu dapat membina kemudahan tersebut bagi kegunaan pelancong yang datang ke kawasan ini seperti membina domitori ala rumah panjang untuk lelaki dan wanita yang berkapasiti 20 hingga 30 orang, sebesar 20 kaki x 20 kaki per unit.

“Cadangan lain ialah membina dua unit tandas lelaki dan wanita berserta tangki air sebanyak enam unit yang berkapasiti 400 liter seunit, membaik pulih atap dan bumbung ‘Meriam Bujang Timpang Berang’ serta membina sebuah helipad yang digunakan utuk tujuan kecemasan,” katanya.

Galong juga berpendapat bahawa kerajaan perlu mewartakan kawasan tertentu di Bukit Sadok bagi mengekalkannya sebagai kawasan bersejarah.

Bagaimanapun, terdapat cabaran untuk mewartakan kawasan Bukit Sadok kerana ia melibatkan dua kawasan pentadbiran iaitu Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong.

“Namun begitu, bagi kawasan pentadbiran Bahagian Betong sebahagian kawasan Bukit Sadok ini telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai

‘The Native Communal (Agriculture) Reserve’ pada 26 Julai 2013 (Swk. L.N. 131).

“Oleh itu, kerajaan terpaksa mendapatkan sebahagian daripada kawasan ini untuk diambil semula oleh kerajaan sebagai kawasan bersejarah. Adalah dicadangkan supaya kawasan treking ‘Rentap Trail’, kubu Bukit Sadok dan kawasan bunga rafflesia diwartakan oleh kerajaan supaya ianya terus dapat menjadi warisan negeri ini sampai bila-bila,” tegasnya.

Sementara itu, Galong turut menjelaskan bahawa program ekspedisi Bukit Sadok yang bakal menjadi aktiviti tahunan itu dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, pertubuhan, agensi kerajaan dan swasta akan dianjurkan pada bulan September nanti.

“Pada masa itu nanti, peserta ekspedisi mungkin dapat melihat kuntuman bunga rafflesia yang berkembang kerana semasa ekspedisi kami pada bulan Mac yang lalu, terdapat beberapa putik benih bunga yang telah mula bercambah,” ujarnya.

Advertisement