Anda di sini

Bekalan air sering terputus di Sebauh

Advertisement

Penduduk terpaksa mengambil risiko mandi di Sungai Kemena yang dihuni buaya

Oleh Ambrose Rirang //

BINTULU: Masalah bekalan air yang sering terputus di daerah kecil Sebauh sejak seminggu lalu menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terbabit.

Paling membimbangkan, penduduk di pekan Sebauh dan Kampung Hilir Sebauh terpaksa mengambil risiko mandi di Sungai Kemena yang dihuni buaya spesies air masin yang agak berbahaya serta boleh melakukan serangan bila-bila masa sahaja.

Penduduk Kampung Hilir Sebauh Azlina Uchau, 33, berkata, masalah itu seakan-akan tiada kesudahannya kerana sudah hampir seminggu gangguan air berlaku.

“Bekalan air terputus tidak tentu masa tambahan pula tiada notis daripada pihak bertanggungjawab.

“Keadaan ini amat menyukar penduduk kampung kerana tidak tahu bila masa bekalan air dibuka dan ditutup bagi membolehkan mereka menyimpan stok air,” katanya.

Paling serius ialah kejadian malam kelmarin apabila bekalan air terputus dari jam 11 malam (Ahad) lalu hingga sekarang, menyukarkan penduduk menjalani kehidupan harian.

Justeru, Azlina berharap pihak terbabit mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah air yang sering terputus di kawasan terbabit.

Dominic Kanyan, 23, seorang penduduk di pekan Sebauh berkata masalah bekalan air yang sering terputus tidak kira waktu sememangnya menyukarkan penduduk.

“Masalah ini berlaku sejak dahulu lagi, cuma dalam tempoh seminggu ini krisis air di pekan Sebauh semakin meruncing seakan-akan tiada kesudahannya,” jelasnya.

Keluarga Dominic terpaksa mandi di Sungai Kemena tidak jauh dari rumah mereka yang sememangnya agak berbahaya kerana berisiko tinggi serangan buaya air masin.

Difahamkan Kampung Pandan di kawasan hulu Sungai Kemena turut mengalami masalah bekalan air kritikal seperti yang dialami penduduk di pekan Sebauh.

Advertisement