Anda di sini

Ahli JKKK harus ambil berat pendidikan anak-anak

Advertisement

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Haden Hollis berkata ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) harus mengambil berat tentang pendidikan anak-anak.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab JKKK menerangkan kepada ahli-ahli tentang pentingnya pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka selain memberi fokus kepada agenda pembangunan.

“Anak-anak perlu diperlengkapkan dengan pelbagai ilmu yang mencukupi kerana tanpa pendidikan secukupnya mereka akan ketinggalan dalam arus pendidikan negara.

“JKKK di setiap kampung mahupun rumah-rumah panjang harus memainkan peranan dalam hal ini, kerana anak-anak merupakan aset penting negara dan mereka bakal menjadi pemimpin,” katanya pada Program Membantu Rakyat (MEMBARA) anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak (JASA) Parlimen Sri Aman di Rumah Ringgit Bayang, Kampung Ibol, Sri Aman kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, negara amat memerlukan golongan cerdik pandai untuk membangunkan negeri ini pada masa akan datang dan setiap keluarga sekurangkurangnya melahirkan seorang graduan.

“Sekiranya kita tidak mahu menghantar anak-anak ke sekolah menimba ilmu bagaimana nasib mereka nanti.

“Sudah pasti mereka akan ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Pegawai JASA Sri Aman Whelthon Lumpoi, Walikota Majlis Daerah Sri Aman Richard Tawan dan Setiausaha MDSA Nelson Mujah Girie.

Pada majlis berkenaan, Harden mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada JKKK terbabit manakala RM3,000 kepada Biro Wanita dan RM5,000 kepada JKKK Rumah Ringgit Bayang.

Advertisement