Anda di sini

Usaha pergiat program seni budaya negara

Advertisement

SEREMBAN: Yayasan Warisan Negara (YWN) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi mempergiatkan lagi program seni budaya negara sehingga ke kawasan kampung, kata Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata melalui program itu, setiap negeri akan mengetengahkan muzik tradisional masing-masing untuk mengangkat semula dan memartabat muzik berkenaan.

“Kita mempunyai 12 program melalui kerjasama antara YWN dan JKKN pada tahun ini yang bertujuan mencari bakat baharu dan memberi kesuburan kepada seni budaya tanah air.

“Usaha berterusan mesti dibuat untuk mengangkat dan memartabatkan kesenian muzik tradisional tanah air,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Konsert Caklempong Xtravaganza 2014 anjuran JKKN Negeri Sembilan di sini malam kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A. Tambi serta Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli.

Mengenai konsert itu, Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata caklempong yang merupakan antara identiti Negeri Sembilan boleh menarik minat generasi muda jika muziknya dapat digabungkan dengan muzik moden.

Katanya usaha yang dilakukan JKKN bagi mengembangkan tradisi muzik tradisional kepada generasi muda bertujuan supaya muzik berkenaan akan terus terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman.

“Caklempong memberi kita satu gagasan iaitu gagasan bunyi dan gagasan identiti budaya bagi Negeri Sembilan dan ini akan memperkukuhkan lagi hubung kait kita dengan masyarakat di Negeri Sembilan sendiri. Caklempong boleh pergi jauh kerana muzik tradisional itu dengan gabungan muzik moden mampu membawa lagu-lagu masa kini dan Inggeris,” katanya.

Sementara itu beliau berkata YWN dan JKKN berhasrat untuk mengadakan Konsert Menara Gading di Istana Budaya, Kuala Lumpur sama ada pada hujung tahun ini atau tahun depan yang akan melibatkan 22 buah universiti tempatan.

Katanya konsert itu bertujuan bagi menyerlahkan alat-alat tradisi muzik Melayu.

Konsert Caklempong Xtravaganza yang julung kali diadakan menghimpunkan lebih 50 orang pemuzik caklempong dalam satu persembahan yang memperdengarkan 20 buah lagu tradisional dan moden yang diserikan oleh artis seperti Musli Ramlee, Datuk Hattan, Mus May, Waris dan Rozaimi. — Bernama

Advertisement