Anda di sini

Semak SOP dalam hadapi bencana berskala besar

Advertisement

SIMBOLIK: Muhyiddin (tengah) pada pelancaran Buku Wira Merah sempena majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2014 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dataran Merdeka di Serdang semalam. Turut hadir Rahman Dahlan (kiri) dan Wan Mohd Nor (kiri). — Gambar Bernama

Persiapan dan perancangan perlu dimantapkan lagi: TPM

KUALA LUMPUR: Agensi dan pasukan bantuan bencana disaran menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya dalam menghadapi bencana skala lebih besar pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi memantapkan lagi persiapan dan perancangan agar lebih rapi, agensi dan pasukan yang terbabit dalam pengurusan bencana juga perlu meningkatkan keupayaan mekanisme dan logistik selain kerap mengadakan latihan bersama.

“Secara peribadi, saya amat kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap agensi bantuan, contohnya ketika negara diuji kejadian bencana banjir di Kuantan, Pahang dan Kemaman, Terengganu sebelum ini.

“Namun, dari sudut yang lain, pada pengamatan saya negara perlu mempunyai persiapan dan perancangan lebih rapi untuk menghadapi bencana pada masa hadapan, khususnya bencana yang berskala lebih besar,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Muhyiddin berkata dengan kekerapan latihan bersama, agensi dan pasukan berkenaan dapat menguji SOP dan logistik masing-masing supaya satu tindakan lebih bersepadu dan teratur dapat digembleng apabila sesuatu bencana berlaku.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri turut menarik perhatian berhubung sasaran waktu respons 10 minit yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang masih kurang memuaskan dari segi pencapaian.

Muhyiddin berkata walaupun pencapaiannya ketika ini hanya pada kira-kira 50 peratus berbanding pencapaian 80 peratus di negara maju, namun kerajaan sedar keadaan itu turut disumbangkan faktor taburan balai dan anggota bomba yang tidak setara dengan keluasan kawasan berisiko yang perlu dilindungi.

Untuk itu, katanya, kerajaan bersetuju mewujudkan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang akan dibayar elaun seperti yang dinikmati Polis Bantuan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Askar Wataniah.

“Pihak Jabatan Bomba akan memberi latihan secukupnya kepada anggota PBB untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan bersama-sama pasukan bomba sepenuh masa,” katanya.

Muhyiddin, kemudiannya menerima pelantikan tiga anggota PBB wanita sebagai simbolik pelancaran pengambilannya semalam. — Bernama

Advertisement