Anda di sini

Rumah Alza ungguli Olahraga SK Tatau

Advertisement

Nur Amar Daniel dan Lorita dinobatkan Olahragawan, Olahragawati 2014

Oleh Abang Ismail Abang Su’ut //

BINTULU: Nur Amar Daniel Nordin dan Lorita Sema masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, di sini kelmarin.

Rumah Merah (Alza) pula muncul juara keseluruhan kejohanan itu diikuti tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh Rumah Kuning (Exora), Rumah Hijau (Pesona) dan Rumah Biru (Viva).

Johan pertandingan perbarisan pula Rumah Hijau (Pesona), manakala Pertandingan Keceriaan Khemah diungguli Rumah Merah (Alza).

Kejohanan itu disertai oleh kanak-kanak prasekolah hingga murid-murid Tahun Enam SK Tatau selain penyertaan ibu bapa bagi acara sukaneka.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau yang mewakili pegawainya, Muhd Nor Abdullah @ Tana.

Hadir sama Pengetua SMK Tatau Umpang Keling, Guru Besar SK Tatau Janudin Ab Rahman, Penolong Kanan Kokurikulum merangkap pengerusi kejohanan Ngeliah Asson, Penolong Kanan I Henry Lingak, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Salihin Talip, Penyelia Petang, Awang Ali dan Guru Besar SK Nanga Penyarai Tatau, Ibrahim Setok.

Janudin berkata, kejohanan itu bertujuan mengukuhkan kerjasama warga sekolah dan ibu bapa di samping memberi kesedaran kepada murid-murid mengenai kepentingan kegiatan kokurikulum sekali gus mencungkil bakat-bakat baharu sebagai persediaan menghadapi kejohanan tahun hadapan.

Katanya, pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Rendah (MSSR) Daerah Tatau tahun ini, SK Tatau muncul tempat ketiga justeru menyasarkan gelaran johan pada tahun hadapan.

“Beberapa atlet sukan yang dilahirkan oleh SK Tatau ialah Johny Anyie dinobatkan sebagai Olahragawan MSSR Peringkat Bahagian Bintulu tahun ini disertai sekolah-sekolah di Bintulu, Tatau, Sebauh, Zon Kemena dan Zon Kidurong,” katanya.

Advertisement