Anda di sini

Kumpulan samun tumpas, tiga penjenayah ditembak mati

Advertisement

KEJAYAAN BESAR: Mohd Bakri dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan pistol yang ditemui atas kejayaan polis menembak mati tiga penjenayah di Persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor di Johor Baharu, semalam. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan Operasi) Polis Bukit Aman Datuk Mazlan Mansor (kanan). — Gambar Bernama

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan kumpulan samun di bandar raya ini selepas menembak mati tiga penjenayah dalam satu kejadian di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau dekat sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, polis rondaan yang bertindak atas maklumat orang awam, menemui sebuah kereta Toyota Vios dengan tiga lelaki dalam keadaan yang mencurigakan.

Semasa cuba mengekori kereta itu, polis ditembak oleh penumpang hadapannya yang dilihat memegang sepucuk pistol, katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Berikutan itu, polis membalas tembakan yang mengena ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 39 dan 41 tahun.

Dua daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail, katanya.

Polis yang memeriksa kereta itu, yang dilaporkan hilang di Teluk Intan, Perak, menemui sepucuk pistol jenis Browning berserta peluru dalam megazine dan sepucuk pistol jenis Colt .45 berserta peluru dalam megazine.

Mohd Bakri berkata dua daripada tiga lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah yang melibatkan kes samun di negeri ini.

Beliau berkata  polis turut menahan lapan lelaki berumur antara 26 dan 38 tahun serta merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menyamun di beberapa lokasi berbeza dalam tempoh 24 jam selepas kejadian kelmarin.

Menurutnya kumpulan itu dipercayai aktif selama dua tahun dengan menyasarkan ahli perniagaan dan premis pertukaran wang asing serta mempunyai sembilan kes samun di Johor dan Pahang.

Kumpulan samun itu juga dipercayai terlibat dalam aktiviti kongsi gelap.

Mohd Bakri berkata lapan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api Penalti Berat (FIPA) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 8 FIPA 1971 yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan. — Bernama

Advertisement