Anda di sini

Kem badminton kembali dengan misi lahir jaguh badminton masa depan

Advertisement

KUCHING: Kem Badminton Astro kini kembali dan pendaftaran khas dibuka buat kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun yang mempunyai bakat dan minat mendalam terhadap sukan badminton.

Sesi latihan percubaan akan diadakan di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur dari 17 Mei hingga 23 Ogos depan.

Kem Badminton Astro adalah sebahagian kerjasama antara Astro, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Sekolah Badminton Li Yongbo.

Ia bertujuan memberikan peluang buat bakat-bakat muda menjalani struktur latihan dan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan potensi mereka dalam sukan ini dari pemain amatur kepada pemain bertaraf dunia di samping memupuk minat mendalam serta penyertaan yang lebih ramai daripada generasi muda.

Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, David Yap berkata: “Kami sangat berbesar hati dengan maklum balas positif kami terima melalui penganjuran program ini.

Program ini ternyata berjaya menggilap potensi para pemain, meningkatkan kemahiran badminton dan memantapkan kekuatan fizikal serta mental mereka.

“Penganjuran program pembangunan belia Kem Badminton Astro untuk tahun ini merupakan sesuatu yang istimewa tatkala bakatbakat muda yang terpilih akan diberikan peluang untuk merasai pengalaman berharga menjalani latihan dan berentap di Sekolah Badminton Li Yongbo yang berprestij,” katanya.

Untuk tahun ini, program pembangunan belia Kem Badminton Astro dikendalikan oleh barisan jurulatih profesional diketuai bekas pemain nombor satu dunia, Wong Choong Hann dan beliau akan dibantu oleh tiga lagi bekas pemain badminton negara iaitu Lee Wan Wah, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng.

Seramai 60 peserta berpotensi dipilih daripada sesi latihan percubaan untuk menjalani latihan intensif selama seminggu bagi meningkatkan tahap kemahiran, kecergasan dan strategi mereka.

Selesai sahaja latihan intensif di Kuala Lumpur, seramai 30 peserta terbaik akan diberikan peluang untuk menjalani Latihan Intensif Lanjutan selama dua minggu di Sekolah Badminton Li Yongbo di Dongguan, China pada hujung tahun ini.

Akademi tersebut yang dinamakan bersempena dengan ketua jurulatih pasukan badminton negara China itu diketuai oleh Tang Xianhu yang bertindak selaku pengetua dan merupakan seorang jurulatih badminton terkemuka yang telah melatih ramai pemain badminton terkemuka China antaranya Lin Dan.

Akademi ini juga menjadi pusat latihan pasukan kebangsaan serta menyediakan salah satu struktur program latihan terbaik di dunia.

Tang Xianhu, Pengetua Sekolah Badminton Li Yongbo berkata, “Saya berasa sangat gembira atas kesedaran sebuah syarikat perbadanan seperti Astro akan kepentingan untuk memupuk serta melahirkan pelapis jaguh badminton dunia dari awal lagi.

Saya teruja untuk melihat kerjasama di antara Kem Badminton Astro dan Sekolah Badminton Li Yongbo dalam melatih bakat-bakat muda dari Malaysia.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini, sila mendaftar secara atas talian di www.astrokasih.org/kembadminton.

Harap maklum bahawa pendaftaran langsung pada hari sesi latihan (walk in registration) tidak akan dilayan.

Sesi-sesi latihan percubaan akan diadakan di Dewan Badminton Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang (17 Mei), Dewan Persatuan Badminton Larkin, Johor Bahru, Johor (23 Mei), Stadium Negeri Kuala Terengganu, Terengganu (13 Jun), Dewan Badminton Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah (9 Ogos), Thumb’s Up Badminton Academy, Sibu, Sarawak (16 Ogos) dan Pioneer Badminton Centre, Kuala Lumpur (23 Ogos).

Advertisement