Anda di sini

Graduan kejuruteraan sanggup lupakan cita-cita demi membantu anak yatim

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Seorang graduan kejuruteraan elektronik sanggup melupakan cita-cita menjadi seorang guru apabila memilih untuk berbakti kepada masyarakat dengan membuka sebuah rumah anak yatim di Taman Pauh Jaya di sini.

Subiha Safar, 31, berkata beliau sebenarnya tidak pernah terfikir untuk bergelar ‘ibu’ kepada 25 anak yatim yang kini di bawah tanggungjawabnya malah bercadang untuk mengejar cita-cita sebagai pendidik selepas tamat belajar di Politeknik Seberang Perai.

“Semua ini berlaku secara tiba-tiba lapan tahun lepas apabila saya secara tidak sengaja memelihara tiga kanak-kanak yang kematian ibu bapa dan selepas itu bertambah lagi beberapa orang.

“Saya dan suami, Wan Mohd Shahrun Wan Mohd Nasir, 31, menerima beberapa lagi kanak-kanak yang kematian ibu bapa sebelum kami sepakat untuk membuka rumah anak yatim ini,” katanya kepada pemberita pada program ‘Selami Hati Bersama Rumah Anak Yatim Permata Kasih’ dan gotong-royong anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh di Pusat Jagaan Permata Kasih di sini semalam.

Bersempena program itu, sejumlah 40 anggota Pemuda UMNO bersama Persatuan Belia 4B Kampung Padang Temusu menyampaikan sumbangan seperti makanan, bantal dan wang tunai RM4,190.

Mereka turut membersihkan persekitaran rumah teres dua tingkat yang menempatkan 23 pelajar perempuan berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan dibuka sejak 2010.

Pelajar lelaki tinggal di sebuah rumah lain yang terletak tidak jauh dari situ.

Subiha berkata pelbagai cabaran ditempuhi beliau dan suami, antaranya perbelanjaan meningkat selain perlu bijak mengawal emosi serta membahagikan masa sebaiknya kerana mereka turut memiliki lima cahaya mata.

“Saya pernah menangis tetapi bukan di depan mereka (anak-anak yatim) kerana berasa sangat sedih apabila seorang daripada mereka meluahkan kerinduan kepada ibu bapa kandung yang telah meninggal dunia, tetapi apabila memikirkan tugas ini sebagai satu tanggungjawab, saya bertekad untuk menjadi kuat dan memberi sepenuh kasih sayang kepada mereka,” katanya.

Beliau bersyukur kerana ada individu persendirian, syarikat swasta serta agensi kerajaan yang prihatin dan sentiasa tampil menghulurkan pelbagai sumbangan.

“Setiap bulan kami memerlukan sekitar RM11,800 untuk operasi yang merangkumi bayaran sewa rumah dan kenderaan, makanan dan minuman, bil elektrik dan air, barangan keperluan diri, rawatan kesihatan, pendidikan kanak-kanak serta bayaran sagu hati untuk tiga petugas.

“Tetapi saya percaya jika niat kita baik, Allah akan membantu dengan memberi rezeki. Sebelum ini, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) pernah datang mengecat rumah dan hari ini (semalam), saya berterima kasih kepada Pemuda UMNO yang sudi datang melawat dan memberi bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin berkata pihaknya mengambil keputusan untuk menjadikan Pusat Jagaan Permata Kasih sebagai anak angkat bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat. — Bernama

Advertisement