Anda di sini

Elaun dan insurans ditawarkan kepada Pegawai Bomba Bantuan

Advertisement

BERANI: Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempamerkan kecekapan menangkap ular tedung selar sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2014 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dataran Merdeka di ibu negara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menawarkan elaun dan insurans kepada individu yang menyertai pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata elaun RM6 sejam akan diberikan kepada anggota bomba bantuan seperti yang dinikmati Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Bantuan.

“Pihak JBPM akan memberi latihan asas secukupnya serta berkesan selama dua minggu kepada anggota PBB bagi memudahkan mereka (PBB) mengendalikan kebakaran atau bencana pada masa depan.

“Sehubungan itu, orang awam yang berminat menyertai pasukan ini, diminta mendaftarkan diri di JBPM,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan  Hari Anggota Bomba Sedunia 2014, di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Katanya, penubuhan PBB akan membantu pihak bomba untuk mengendali bencana dengan lebih berkesan selaras dengan apa yang dibuat oleh polis bantuan.

Selain itu, Wan Mohd Nor berkata skim insurans turut disediakan kepada anggota PBB yang berdepan dengan ancaman dan risiko ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya menggunakan pendekatan PBB bagi memudahkan pihak bomba menjalankan tugas ketika berhadapan dengan kecemasan di kawasan kampung atau bandar kecil.

“Kita gunakan pendekatan ini, memandangkan kita tidak mungkin akan dapat menubuhkan balai bomba dan penyelamat di setiap bandar kecil atau kampung. Maka, kita bercadang menyediakan PBB bagi membantu pihak bomba di kawasan berkenaan.

“Kita dapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan perkhidmatan ini dengan menyasarkan 15,000 anggota PBB akan direkrut untuk 10 tahun akan datang,” katanya. — Bernama

Advertisement